Tolak Sentimen, Dakwaan Negatif Lawan… UMNO Teguh Perjuangkan Agama, Bangsa, Tanah Air – Mohd Rafi

BELURAN, 23 Jun – Ahli-ahli UMNO perlu menolak dakwaan negatif dan mainan sentimen pihak lawan termasuk kenyataan kononnya UMNO menggadaikan maruah dan perjuangan bangsa lantaran bersama Dap hari ini.

Demikian tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan yang berucap dihadapan khalayak sempena Jelajah Penerangan UMNO Malaysia di Bahagian Beluran pada Jumaat.

Katanya, sebelum UMNO bersama dengan Dap, parti-parti lain termasuklah mereka yang galak memainkan sentimen tersebut telah terlebih dahulu menjalin kerjasama.

“Kita perlu tolak suara sumbang kononnya UMNO tolak perjuangan utama dan gadaikan maruah Melayu kerana bersama Dap sedangkan sebelum ini parti-parti lain termasuk Pas sendiri telah lebih dahulu pernah bersama dengan Dap.

“Pas sendiri bergabung bersama Dap dalam dua kali Pilihan Raya Umum (PRU) iaitu pada tahun 2004 dan 2008, maka kenapa tidak dipersoalkan sedangkan mereka lebih 10 tahun bersama dengan Dap. Pas pernah tidur sebantal, duduk bersama dan mengatur strategi bagi mengalahkan UMNO/Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan ketika itu.

“PBBM juga bergabung bersama Dap untuk kalahlan UMNO/BN pada PRU ke-14 sedangkan UMNO hanya bersama Dap selepas pilihan raya lantaran titah Yang di-Pertuan Agong bagi membentuk kerajaan. Inilah fakta jelas yang perlu kita terangkan bahawa sentimen yang dimainkan adalah tidak benar kerana UMNO tetap dengan perjuangan asal, iaitu agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Dalam hal ini, Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuang mengingatkan bahawa musuh parti sentiasa melemparkan tohmahan dan memainkan persepsi serta sentimen khususnya berkaitan bangsa dan kaum.

“Politik ini dinamik dan kita perlu bersedia untuk masa hadapan. Sentimen berkaitan bangsa dan kaum sentiasa dipermainkan oleh pihak lawan untuk memburukkan UMNO malah kita tewas juga dalam pilihan raya ke-14 Aadalah kerana sentimen dan persepsi yang berlegar ke atas parti kita.”

Sehubungan itu, beliau menggesa anggota parti khususnya jentera penerangan untuk proaktif dan menggerakkan segala usaha bagi memastikan maklumat tepat sampai kepada pengundi.

“Kalau bekerja betul-betul dan susun strategi dengan betul maka UMNO akan kembali berkuasa dan mentadbir semula. Apatah lagi kekuatan UMNO adalah dari kalangan ahli-ahli parti di akar umbi, khususnya jentera penerangan.

“Jentera penerangan UMNO mampu menjadi penentu kemenangan parti. Peranan terbesar kita adalah untuk mempromosikan parti dan pemimpin apatah lagi hari ini melalui media sosial. Media baharu ini memainkan peranan yang sangat penting dalam menyampaikan berita dan informasi kepada rakyat di setiap Parlimen dan DUN,” katanya lagi.

Turut bersama dalam progam Jelajah Penerangan UMNO Malaysia di sini ialah Ketua Penerangan UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir; Ketua UMNO Bahagian Beluran, Jumain Ratib serta barisan kepimpinan parti di bahagian terbabit.

Dilaporkan, siri Jelajah Penerangan UMNO hasil idea Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said aktif melaksana gerak kerja dengan turun ke bahagian-bahagian di seluruh negara.

Ia dilaksana bagi memberi penerangan berkaitan isu-isu semasa untuk diaplikasi sebagai manfaat kepada ahli-ahli akar umbi agar dapat disampaikan informasi tepat di samping hala tuju UMNO untuk masa hadapan kepada semua anggota parti. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.