Ahli UMNO Jangan Jadi Penyumbang Kekalahan Pada Pilihan Raya – Jalaluddin Alias

JEMPOL, 23 Jun – Jangan ada ahli UMNO yang menyumbang pada kekalahan pada pilihan raya dan sekiranya ada ia mesti dihentikan dengan serta merta, demikian tegasnya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Menurut beliau, segala apa jua perbalahan sesama ahli parti harus dihentikan dengan segera agar parti ini terus kekal relevan.

“Segala bentuk perbalahan di semua peringkat sama ada di peringkat akar umbi, kepimpinan cawangan, bahagian dan perhubungan negeri harus dihentikan. Saya tidak boleh berkompromi lagi dengan mana-mana pihak sama ada Ketua UMNO bahagian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan exco-exco kerajaan negeri .

“Saya sudah sebut beberapa kali kerana kerusi UMNO di Negeri Sembilan kalah kerana ahli parti yang mengalahkan calon UMNO. Jangan ada ahli UMNO sebagai menyumbang atau pun penyumbang pada kekalahan itu dan ini mesti dihentikan dengan serta merta.

“Bagi saya solidariti dan kesepaduan dalam kalangan kepimpinan ahli di UMNO bahagian-bahagian dan juga akar umbi seluruh Negeri Sembilan sangat penting dan formula yang sangat penting untuk mencipta kejayaan pada pilihan raya akan datang. Sekiranya ini dapat dikekalkan dan diamalkan, insya-Allah… UMNO Negeri Sembilan bakal mencipta kejayaan sekali lagi pada Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya.

Beliau berkata demikian pada siri Jelajah Penerbangan UMNO bersama akar umbi bahagian Jempol di sini.

Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Mustapha Nagoor, ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, kepimpinan UMNO bahagian dan ahli-ahli parti.

Jalaluddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu menzahirkan penghargaan kepada Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said kerana siri Jelajah Penerangan UMNO dapat menerangkan dan menjelaskan pelbagai isu yang dibangkitkan.

Ujarnya, Jelajah Penerangan UMNO ini dapat memberi penjelasan yang sepenuhnya kepada ahli parti di peringkat akar umbi, kepimpinan bahagian sehingga ke peringkat kampung-kampung tentang isu-isu yang melanda di peringkat ahli parti.

“Ini harus dijelaskan supaya tidak ada lagi salah anggap, pertikaian, keraguan dan sebagainya. Paling penting sekali supaya ahli-ahli UMNO bergerak ke hadapan untuk menuju PRU ke-16. Kesefahaman ahli parti amat penting kepada tertubuhnya Kerajaan Perpaduan dan bagaimana hendak jadikan UMNO sebagai sebuah parti yang relevan dan dominan di Negeri Sembilan dan juga seluruh Malaysia, insya-Allah.

“Saya dapati ahli UMNO cukup memahami apabila penerangan yang diberikan sejelas-jelasnya pada siri jelajah ini. Maka ahli di peringkat akar umbi dapat penjelasan yang sangat jelas dan ahli faham isu-isu semasa dan akan dijalankan dari semasa ke semasa.

“Paling penting kita kena turun ke bawah, berjumpa dengan akar umbi, bersuara tentang perjuangan UMNO yang tidak pernah lupus seperti yang diadu domba oleh pihak yang mahu lihat parti ini semakin lemah,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Jelajah Penerangan UMNO telah memberikan segala penerangan tentang isu-isu semasa di Negeri Sembilan.

UMNO bahagian Tampin menjadi siri jelajah yang pertama pada 24 Mei lalu dan diikuti UMNO bahagian Rembau, Kuala Pilah dan di Jempol.

Terdahulu, Majlis Pelancaran Jelajah Penerangan UMNO ini telah berlangsung pada 14 Mei lalu dengan disempurnakan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Ibu Pejabat UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.