BN Sedia Pertimbang Letak Calon Di DUN Nenggiri – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 21 Jun – Barisan Nasional (BN) sedia mempertimbangkan untuk meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, Kelantan jika diadakan, susulan kekosongan luar jangka kerusi N43 berkenaan, kata pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, walaupun BN adalah ‘underdog’ di DUN itu namun ia tetap bersedia sekiranya diputuskan akan diadakan PRK di kawasan itu nanti.

Beliau berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tahun lepas membabitkan persaingan dua penjuru antara calon BN Ab Aziz Yusoff dan calon Pas dari parti Bersatu Mohd Azizi Abu Naim, yang menyaksikan Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi.

“Oleh kerana kekalahan kita hanya lebih sedikit 800, kita fikir bahawa kalau ada pun pilihan raya kecil maka pastinya kawasan ini kita adalah underdog, namun kita juga harus hormat, perkara ini telah dibawa ke mahkamah,” katanya dan menambah apa sahaja keputusan mahkamah, ia harus dihormati oleh semua pihak.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian semasa mengulas perkembangan PRK DUN Nenggiri, selepas mengadakan pertemuan khas dengan peserta dan penganjur Mid Season Cup MLBB 2024 – Moonton Games Malaysia di sini pada Jumaat.

Ditanya sama ada BN akan mencalonkan semula Mohd Azizi sebagai calon BN bagi PRK itu kelak memandangkan beliau kini memihak kepada Kerajaan Perpaduan, Ahmad Zahid berkata perkara itu boleh dirunding.

“Boleh dirundingkan, dan saya fikir pendirian kami ialah di mana-mana tempat yang ada pilihan raya kecil, penyandang itu jika datang daripada parti komponen dalam Kerajaan Madani ini, kita berikan keutamaan,” katanya.

Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini mengesahkan kerusi DUN kosong bermula 19 Jun dan menyatakan keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azizi pada 13 Jun lepas.

Mohd Azizi hari ini dilaporkan melantik peguam bagi mencabar keputusan Speaker DUN Kelantan berhubung pengosongan kerusi DUN itu, dan peguamnya akan memfailkan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu Ahad ini, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) oula akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi urusan PRK DUN Nenggiri pada 28 Jun ini.

Sementara itu merujuk kepada PRK Sungai Bakap pada 6 Julai ini, Ahmad Zahid menzahirkan kepercayaan bahawa lebih 5,000 ahli UMNO di DUN itu akan menyokong calon Pakatan Harapan (PH). – Bernama

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.