Jelajah Penerangan UMNO Gerak Kerja Penting, Jangan Pernah Berada Dalam Zon Selesa

KUALA LIPIS, 13 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata gerak kerja Penerangan UMNO khususnya melalui Siri Jelajah ke Bahagian-bahagian merupakan satu usaha yang amat penting.

Ujar Ketua UMNO Bahagian Lipis itu, tindakan proaktif yang dilaksanakan oleh Penerangan UMNO Malaysia di bawah kelolaan Datuk Seri Azalina Othman Said itu wajar diteruskan ke seluruh negara dan segala input yang diberikan perlu disebarluaskan hingga ke peringkat akar umbi.

“Saya rakamkan terima kasih kepada Biro Penerangan UMNO Malaysia yang diketuai oleh Datuk Seri Azalina yang kini dalam siri Jelajah Penerangan UMNO. Siri ini amat baik sekali dan pendedahan yang cukup baik untuk semua ahli UMNO dalam kawasan khususnya Ketua Penerangan di peringkat Cawangan dan Bahagian dan sayap. Yang mana dapati penjelasan yang diberikan daripada Penerangan UMNO Malaysia amat jelas sekali. Kita kena meneruskan usaha seperti ini.

“Program ini mestilah diteruskan pada masa ke semasa dan untuk pendedahan. Mungkin hari ini kepada Penerangan… selepas ini kepada ahli-ahli Cawangan dan keseluruhan UMNO dalam negara kita ini.

“Kerana pentingnya dalam tiga tahun ini saya percaya akan berlaku pilihan raya (umum) yang ke-16 dan maksima berlaku dalam tiga tahun setengah lagi. Penjelasan ini mesti diturunkan melalui ceramah di seluruh negara ataupun Cawangan di peringkat kampung pentingnya kenapa perjuangan UMNO itu mesti dibangkitkan kembali,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau ditemui selepas program Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Lipis baru-baru ini.

Siri Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Lipis menampilkan Ketua Penerangan UMNO Negeri Pahang Fadzli Mohamad Kamal yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang dan Ahli MKT UMNO merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam dan bekas Menteri Kabinet Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selaku penceramah utama.

Selain itu, Abdul Rahman juga mengulas mengenai pentingnya semua jentera menguasai platform media sosial terutama kini berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Ini peranan melalui media (sosial) kita tidak tahu pihak sebelah sana apa yang mereka lakukan tetapi pihak sebelah kita, hendak bermula daripada Cawangan mestilah media kukuh, kuat dan terlatih dengan baik.

“Saya berharap khususnya Pemuda, Puteri mesti mendalami AI dan mereka mesti meneruskan ‘perlawanan’ untuk memastikan gerak kerja kita melalui media sosial ini sangat penting sekali. Saya akan pastikan UMNO Bahagian Lipis akan menggerakkan melalui media moden untuk menawani hati masyarakat,” katanya.

Jelas Abdul Rahman lagi, kepimpinan UMNO di bawah Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang berusaha keras bagi memastikan kelangsungan parti.

Begitu juga katanya melihat kepada senario politik semasa terutama di Negeri Pahang, Abdul Rahman menyeru semua pihak dalam parti tidak berada dalam keadaan selesa.

“Kita tidak boleh berada di dalam zon selesa, kita anggap seperti kita hendak merampas kembali. Contoh di Pahang Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) menekankan bahawa setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kawasan kita mesti rampas.

“Ini menjadi satu pedoman kepada kita bahawa kerajaan Pahang sangat serius untuk dapat kembali menerajui Pahang dengan dua pertiga dan kita tahu sebenarnya gerak kerja parti pembangkang khususnya Perikatan Nasional (PN)-Pas sedang bekerja bersungguh-sungguh.

“Jadi untuk menangani masalah itu, kita sebagai ahli keseluruhan seperti di Lipis ada ahli lebih kurang 14 ribu lebih mesti bersama-sama dan tidak mengharapkan ahli jawatankuasa Bahagian sahaja… ia tidak mungkin kita dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab tersebut hanya sekadar jawatankuasa (Bahagian), mesti datang juga daripada Cawangan,” katanya sambil berkata UMNO mempunyai kelebihan kerana mempunyai struktur parti yang kemas berbanding parti lawan.

Tambahnya lagi, banyak inisiatif untuk kepentingan rakyat telah kerajaan lakukan sama ada di peringkat pusat mahupun negeri. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.