Usaha Penuh Semangat… Rampas Kembali Parlimen Dan DUN Di Tanjong Karang – Azalina

TANJONG KARANG, 9 Jun – UMNO Tanjong Karang perlu bangkit dan menebus semula maruah pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU1) dengan merampas kembali kerusi yang hilang kepada pembangkang, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang berkata meskipun berlaku pelbagai situasi berliku pada masa itu, namun keyakinan merampas kembali Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu berada di tahap yang terbaik.

“Kita mesti punyai semangat dan keyakinan bahawa UMNO bahagian Tanjong Karang akan merampas kembali dan menang semula Parlimen Tanjong Karang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burung dan Permatang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

“Ini bererti dalam masa dua tahun lebih ini harus lebih memperkasakan lagi gerak kerja terutamanya UMNO bahagian Tanjong Karang mesti ke arah PRU ke-16 walau pun landskap politik sentiasa berubah-ubah.

“Politik ini tidak boleh disangka dan macam- macam akan terjadi dan harus terima hakikat bahawa perubahan sedang berlaku, akan berlaku dan tetap akan berlaku. Insya Allah, UMNO Tanjong Karang akan memberikan kemenangan pada PRU ke-16,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jelajah Penerangan UMNO yang diadakan di Bangunan UMNO Tanjong Karang, petang semalam.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak, Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zin, kepimpinan UMNO bahagian dan akar umbi UMNO.

Mengulas lanjut, kata Ahli Parlimen Pengerang, UMNO bahagian Tanjong Karang perlu peka dan tahu keadaan terkini pengundi walau pun mereka ini berada didalam kawasan ini mahu pun di luar Parlimen.

“Paling penting kita kena tahu pengundi-pengundi yang berada di luar Tanjong Karang. Pengundi kita macam mana? Jumlah pengundian bertambah setiap hari apabila berumur 18 tahun dan secara automatik. Pemuda dan Puteri UMNO harus main peranan untuk mendapatkan ahli baharu untuk menjadi pelapis walau pun sekarang ramai ahli-ahli lama.

“Kita tahu Pemuda dan Puteri UMNO tercungap-cungap mencari ahli baharu dan anak-anak muda sekarang kurang berminat dengan politik dan mereka lebih terarah penggunaan media sosial seperti Tik tok, Facebook, Instagram dan sebagainya,” jelasnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.