Penerangan UMNO Teruskan Siri Jelajah Ke Bahagian Lipis

KUALA LIPIS, 9 Jun – Selepas UMNO Bahagian Jerantut pada bulan lalu, Penerangan UMNO Malaysia meneruskan siri jelajah keduanya bagi Negeri Pahang di Lipis.

Bermula jam 9.30 pagi, majlis dimulakan nyanyian lagu Negaraku, lagu rasmi Negeri Pahang dan lagu UMNO Bersatu Bersetia Berkhidmat serta bacaan doa.

Majlis yang dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad itu dihadiri lebih 300 pendukung parti.

Dalam ucapannya, Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia dan Ahli Parlimen Lipis menggariskan beberapa perkara perlu dilaksanakan oleh ahli UMNO terutama bagi menangkis segala tohmahan dan persepsi negatif yang dilemparkan pihak lawan.

Selanjutnya kata Abdul Rahman, selain menggunakan kaedah penerangan secara konvensional, parti juga perlu agresif menggunakan teknologi terkini seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan juga platform media sosial yang amat mudah didapati maklumatnya hanya melalui hujung jari.

Bertempat di Dewan Dato’ Omar Othman di sini, Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Lipis ini menampilkan Ahli MKT Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam dan bekas Menteri Kabinet sebagai penceramah utama.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Fadzli Mohamad Kamal merangkap Exco Kerajaan Negeri dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Datuk Abu Jimi Samat juga mengambil kesempatan menyampaikan kata-kata aluan.

Begitu juga wakil Penerangan UMNO Malaysia Ahmad Raziz Rashid turut tampil memberikan taklimat berkaitan hala tuju jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Menerusi program terbabit, ahli-ahli di akar umbi mendapat manfaat hasil daripada penerangan yang disampaikan sama ada berkaitan parti mahupun isu-isu semasa negara.

Pada sebelah petang hari ini juga Jelajah Penerangan UMNO akan meneruskan siri pencerahan isu-isu semasa ke Bahagian Kuala Krau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.