Perkukuh Parti, UMNO/BN Perlu Kuasa Untuk Teruskan Agenda Bantu Rakyat – Iqbal Jamal

KUALA LUMPUR, 7 Jun – UMNO/Barisan Nasional (BN) memerlukan kuasa untuk mentadbir negara bagi meneruskan agenda membantu rakyat, kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, Iqbal Jamal Jamaluddin.

Menurutnya, motif parti-parti politik menyertai pilihan raya adalah untuk menang dan sekaligus menubuhkan kerajaan secara majoriti.


“Apa motif kita berpolitik hari ini? Parti politik berpolitik masuk pilihan raya untuk kuasa… sebab apa kita perlukan kuasa? Sebab utama adalah untuk membantu rakyat kerana dengan kuasa pelbagai perkara mudah dilaksana… mungkin ada makcik yang anak-anak nak sambung belajar… nak dapatkan biasiswa, ada yang susah daripada golongan B40 nak dapatkan bantuan dan sebagainya, jadi kita memerlukan kuasa untuk membantu.

“Sebab itu kita masuk parti politik dan bertanding… kita nak dapatkan kuasa. Jadi apabila berunding untuk pilih yang mana maka pilihlah parti yang tubuh kerajaan dan dapat memberi manfaat kepada rakyat,” katanya memetik ucapan beliau baru-baru ini.

Dalam hal ini beliau memaklumkan bagaimana Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad mentadbir negeri yang memberi manfaat kepada rakyat apabila memperoleh kutipan hasil kerajaan lebih RM1 bilion selama dua tahun berturut-turut.

“Apabila ada kuasa, hari ini saya nak cerita apa yang Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani buat. Kita buat pertama kalinya mendapat kutipan hasil kerajaan lebih RM1 bilion dua tahun berturut-turut. Apabila kita dapat kutip duit cukai ataupun pendapatan kerajaan negeri, maka kita akan belanjakan untuk keperluan rakyat.

“Berapa kita belanjakan tahun ini untuk bajet? RM1.35 bilion untuk Negeri Perak pada tahun ini. Ini adalah belanjawan yang terbesar pernah kita belanjakan di negeri ini di bawah pimpinan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau juga memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Perak masih mempunyai bajet surplus sebanyak RM62.4 juta meskipun telah berbelanja secara besar.

“Bukan itu sahaja, kita dah belanjakan maka kita kawal duit. Saya nak maklum Kerajaan Negeri Perak belanja wang terbesar, perbelanjaannya bagus… melimpah ruah semuanya bagi kepada rakyat, masih lagi kita mendapatkan bajet surplus RM62.4 juta.

“Surplus maksudnya ada lebihan lagi. Ini kerana kerana kita mempunyai kuasa. Mana kita dapatkan kuasa eksekutif ini? Ianya dari parti politik,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.