Noraini Hadir Rasmi Cawangan Drop&Wash, Harap Bantu Ramai Golongan B40
KUALA LUMPUR, 7 Jun – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah hadir merasmikan pembukaan cawangan Drop&Wash dan berharap agar perniagaan tersebut terus berkembang serta dapat membantu lebih ramai golongan B40.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat menerusi hantaran di laman Facebooknya mengucapkan tahniah kepada Pengurus Besar Drop&Wash, Zarina Tom Ismail di atas pembukaan cawangannya yang ke-10 ini.
“Pada Khamis saya berkesempatan hadir merasmikan pembukaan cawangan Drop&Wash di Bangunan Medan Mara, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
“Tahniah diucapkan kepada Zarina Ismail Tom, Pengurus Besar Drop & Wash di atas pembukaan cawangan yang ke-10 ini.
“Drop&Wash yang dimulakan sejak tahun 2008 ini merupakan satu-satunya perniagaan sosial yang telah diakreditasikan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi atas penggunaan inovatif Sistem Cucian Lestari / Mesra Alam serta mengambil pekerja dari kalangan golongan B40,” katanya.
Menurutnya, beliau berbangga kerana dapat bertemu dengan seorang usahawan wanita yang berjaya seperti Zarina.
“Syarikat dobi Drop&Wash ini juga pernah menerima Anugerah Amalan Terbaik Global di Frankfurt 2016 dan pemenang Anugerah Khas CSR di Anugerah Amalan Terbaik Global Milan 2018.
“Bangga bila dapat bertemu dengan seorang usahawan wanita yang berjaya seperti Zarina. Semoga perniagaan ini akan terus berkembang dan dapat membantu lebih ramai golongan B40.
“Turut hadir bersama Ahli Majlis MARA,Datuk Rosni Sohar dan Timbalan Pengerusi GiatMARA, Datin Naszriah Ngasri, ” katanya lagi. – UMNO Online