Siri Jelajah Penerangan UMNO Ke Putatan, Merungkai Isu Politik Semasa

KOTA KINABALU, 1 Jun – Penerangan UMNO Malaysia meneruskan siri jelajahnya ke Bahagian Putatan yang dihadiri hampir 300 ahli akar umbi, di sini hari ini.

Bertempat di Bangunan UMNO Negeri Sabah, Jelajah Penerangan UMNO itu dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Negeri Sabah Jeffery Noor Mohamed yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Putatan.

Ia kemudian disusuli dengan ucapan aluan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan taklimat ringkas wakil daripada Penerangan UMNO Malaysia.

Hadir sama Setiausaha UMNO negeri Datuk Jafry Ariffin, Ketua Penerangan UMNO negeri Datuk Suhaimi Nasir dan beberapa Ketua UMNO bahagian berhampiran.

Sesi penerangan seterusnya adalah daripada Ahli MKT UMNO yang juga Pengarah Komunikasi UMNO Datuk Lokman Noor Adam dengan menyampaikan pelbagai input terutama berhubung kait isu semasa melibatkan parti dan politik negara.

Tinjauan UMNO Online mendapati rata-rata peserta yang ditemui meluahkan keterujaan mereka dengan pencerahan daripada program jelajah ini dan berharap ia dapat membakar semangat mereka bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal tiba.

Menerusi program terbabit, penerangan berkaitan isu-isu semasa diangkat untuk manfaat ahli-ahli di akar umbi agar dapat menyampaikan maklumat yang tepat dan holistik kepada golongan sasar di kawasan setempat.

Selain itu, ia juga menjadi perisai bagi semua ahli dan pendukung parti untuk menangkis pelbagai dakwaan negatif, tohmahan dan fitnah yang dilemparkan pihak lawan.

Jelajah Penerangan UMNO Malaysia yang dicetuskan oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini telah diadakan di beberapa kawasan antaranya seperti di bahagian Jerantut, Tapah, Sabak Bernam, Tampin, Putrajaya dan semalam di Rembau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.