Kembalikan UMNO Ke Landasan Asal, Kukuh Gerak Kerja – Jamil Khir

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Semua pihak di peringkat kepimpinan dan akar umbi perlu memainkan peranan sebaiknya dalam memperkukuhkan gerak kerja untuk mengembalikan UMNO sebagai teraju utama negara semula.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, semua pejuang parti perlu mempunyai kesedaran mengenai kedudukan terkini UMNO dalam arus politik negara.

“Tuan-tuan, apa yang kita persiapkan untuk esok hari kita? Apa yang telah kita persiapkan untuk kemudian? Saya nak maksudkan kemudian ini bukan soal kiamat saja, tapi untuk UMNO pada masa akan datang, khususnya bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang.

“Selepas PRU ke-15 dan juga Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri… sebab ada enam negeri yang tidak mengadakan pilihan raya secara serentak pada PRU ke-15 yang lalu. Negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka ialah Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Tetapi selepas PRU ke-15 dan tidak termasuk PRN… yang pertama sekali kita kena sedar. Dulu waktu pilihan raya tidak kiralah yang pertama sampai ke-13, tiap-tiap habis pilihan raya ahli-ahli Parlimen ini datang daripada UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sempena Jelajah Penerangan UMNO Malaysia pada Jumaat.

Menurutnya, hasil daripada kedua-dua pilihan raya tersebut UMNO berjaya mengekalkan takhta hanya di tiga buah negeri sahaja.

“Tetapi pasca PRU ke-15 dan PRN di enam buah negeri, UMNO menerajui di tiga buah negeri sahaja. Sebab saya nak tumbuhkan satu kesedaran. Saya nak tumbuhkan satu perkara dalam kita bahawa UMNO bukan lagi macam dulu. Kita bukan lagi sebagai mana zaman dulu.

“Menteri Besar kita pertamanya daripada Perak diikuti Pahang, Melaka dan Johor. Empat, buah negeri ini sahaja yang Menteri Besar dan Ketua Menteri datang daripada UMNO.

“Di Melaka kita melalui satu PRN yang berasingan. Kita berkampung 14 hari untuk menggerakkan PRN di Melaka. Kemudian, semua pula di Johor. Ini pasca PRU ke-15,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan para pemimpin dan ahli parti untuk berusaha bersungguh-sungguh agar zaman kegemilangan UMNO dapat dikembalikan.

“Gambaran ini saya sengaja bawakan untuk dapat kita memikirkan bagaimana kedudukan hari ini. Kita membincangkan soal zaman kita menang banyak.

“Kita juga nak kena sedar. Sama ada kita sedar ataupun tak sedar tujuh buah negeri yang UMNO tidak ada ahli Parlimennya, langsung tidak ada. Sekarang ini, ahli Parlimen UMNO dah tinggal 26. Daripada yang 26 tinggal ini, tujuh buah negeri, bukan tujuh bahagian, bukan tujuh Parlimen, tujuh buah negeri yang tidak punya seorang pun ahli Parlimen masing-masing.

“Sebab ini saya nak tekankan, kita perlu ada satu kesedaran untuk kita memahami bagaimana langkah kita nak menuju. Maka, perkuatkanlah gerak kerja kita agar zaman kegemilangan UMNO dapat dikembalikan,” katanya lagi.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Politik Kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Suraya Yaakob, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Dr Awaludin Said, Naib Ketua UMNO Bahagian Rembau merangkap Ketua Penerangan bahagian Datuk Zaifulbahri Idris dan seluruh barisan kepimpinan empat peringkat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.