UMNO Harus Ada Pendekatan Baharu, Terus Tekad Perkukuh Parti – Azalina

PUTRAJAYA, 25 – UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus melakukan pendekatan yang berbeza dari sebelum ini bagi menghadapi pilihan raya akan datang dan meraih sokongan pengundi, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Katanya, pemimpin UMNO perlu mencipta sentimen, naratif dan aura positif untuk mendekati hati rakyat serta meraih sokongan mereka.

“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 pendekatan UMNO dan BN harus ada pendekatan yang lain iaitu kaedah dan pendekatan yang terbaik perlu dikenal pasti bagi memenangi hati rakyat.

“Apabila kita memerintah di Putrajaya semua yang dilakukan adalah untuk kemudahan orang lain. Kita kena bergerak dengan keadaan yang lebih bijak, kita tidak boleh emosi dalam politik lagi. Kerusi Parlimen ada 222 dan kalau UMNO nak memerintah kena ada 113 kerusi Parlimen.”

Katanya, pertambahan pengundi hari-hari berlaku kerana adanya pengundi ‘automatik’ 18 tahun.

“Keahlian dalam banyak mana yang ada jumlah pengundi akan lebih ramai dari jumlah ahli UMNO.

“Ahli kita ni banyaknya ahli-ahli yang lama-lama iaitu yang akan meninggalkan kita dan sekiranya anak-anak muda tidak sambung, Pemuda dan Puteri tidak ramai dan cawangan banyak ditutup tidak aktif, maka lagi kita rebah kerana isu orang muda.

“Ini adalah cabaran yang berlaku pada ahli UMNO maka kita bertanggungjawab untuk menanganinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya di Pusat Kejiranan Presint 9, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Setiausaha Penerangan UMNO, Datuk Suraya Yaacob serta kepimpinan UMNO bahagian Putrajaya.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) merangkap Ahli Parlimen Pengerang juga mengingatkan anggota parti berkaitan musuh dalam selimut.

“Kita kena menerima hakikat bahawa antara cabaran utama UMNO adalah musuh dalam selimut. Dia pakai baju UMNO, bercakap dengan cara kita, makan bersama dan dia orang kita.

“Ini terbukti dalam sejarah politik dunia yang ingin memusnahkan satu-satu kaum maka dimusnahkan dari dalam. Itu adalah gerakan yang sengaja dibuat untuk memusingkan UMNO.

“Politik UMNO perlu kita buat gerakan, kena ada kesedaran dan kebijakan. Rakyat melihat UMNO sebagai membantu mereka, takkan kita tak nak tengok orang susah sebab parti kita memang wujud demi khidmay dan membantu masyarakat.”

Justeru beliau menekankan untuk semua anggota parti bersatu dan membuat gerakan untuk masa depan.

Untuk rekod, program jelajah tersebut membuka tirainya di UMNO Bahagian Jerantut pada 18 Mei lalu disusuli Bahagian Tapah pada 22 Mei, dan Tampin 24 Mei.

Terdahulu, Majlis Pelancaran Jelajah Penerangan UMNO ini telah berlangsung pada 14 Mei lalu dengan disempurnakan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Ibu Pejabat UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.