Putrajaya Lokasi Ke-4 Siri Jelajah Penerangan UMNO, Fokus Rungkai Isu Semasa

PUTRAJAYA, 25 Mei – Penerangan UMNO Malaysia meneruskan siri jelajahnya dengan Bahagian Putrajaya menjadi lokasi keempatnya, hari ini.

Bertempat di Pusat Kejiranan Presint 9, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said menyantuni ahli-ahli UMNO di bahagian terbabit dengan kehadiran bersama Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya.

Menerusi program terbabit, penerangan berkaitan isu-isu semasa diangkat untuk manfaat ahli-ahli UMNO agar dapat menjadi perisai bagi menangkis pelbagai dakwaan negatif pihak lawan selain mampu menyalurkan maklumat yang betul kepada ahli-ahli UMNO dan masyarakat secara holistik.

Program yang bermula pukul 10 pagi ini dilaksana secara teratur dan tertib dengan dimulakan oleh nyanyian anggota parti lagu Negaraku, lagu Barisan Nasional dan lagu UMNO, Bersatu Bersetia Berkhidmat.

Ini disusuli bacaan doa dan kemudiannya ucapan Tengku Adnan dan juga Azalina yang akan bersulam dengan agenda penerangan pelbagai isu-isu semasa lantaran dinamiknya politik hari ini.

Untuk rekod, program jelajah tersebut membuka tirainya di UMNO Bahagian Jerantut pada 18 Mei lalu disusuli Bahagian Tapah pada 22 Mei, dan Tampin 24 Mei.

Terdahulu, Majlis Pelancaran Jelajah Penerangan UMNO ini telah berlangsung pada 14 Mei lalu dengan disempurnakan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Ibu Pejabat UMNO.

Majlis pelancaran tersebut juga telah dihadiri oleh Azalina bersama dengan kepimpinan bahagian-bahagian yang terlibat.

Memetik pesanan Khaled dalam ucapan perasmiannya, beliau melihat naratif yang tepat mampu menjelaskan kepada rakyat kepelbagaian persepsi yang dihujani terhadap UMNO termasuklah keputusan untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurut beliau persepsi yang masih berlegar cukup besar antaranya mengapa berada di dalam Kerajaan Perpaduan dan bagaimana untuk menguruskan persepsi perasaan orang-orang Melayu apabila parti berkenaan mengambil tindakan tersebut.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.