Perkukuh Perjuangan, UMNO Tampin Terus Dekat Dampingi Rakyat – Mohd Isam

TAMPIN, 25 Mei – UMNO Bahagian Tampin yang diketuai Datuk Mohd Isam Mohd Isa fokus kepada mendekati dan mendampingi masyarakat tanpa melihat kepada ideologi parti dan dalam masa yang sama mengakui pentingnya isu-isu semasa harus diterangkan kepada ahli-ahli UMNO.

Menurut beliau, aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh UMNO bukan sahaja untuk kalangan ahli parti tapi ia merangkumi semua  lapisan masyarakat tidak kira sama ada atas pagar mahu pun pendukung parti.

“Di Tampin ini kita mempraktikkan dan mengajak semua masyarakat bersama dengan aktiviti-aktiviti UMNO bukan hanya terhad kepada ahli parti tetapi juga pengundi-pengundi di atas pagar. Kita panggil, kita bersama mereka, kita dekati mereka, itu lebih mustahak. Kita buat balik dan kembali balik asal perjuangan UMNO iaitu atas khidmat membantu masyarakat dan itu yang paling penting.

“Alhamdulillah penerimaan masyarakat di kawasan Parlimen Tampin  kepada aktiviti perjuangan UMNO amat baik dan mereka masih lagi memerlukan khidmat UMNO.”

Maka kerana itu katanya, beliau aplikasi kesempatan sebagai kerajaan untuk menarik lebih ramai masyarakat bersama UMNO. 

“Janganlah kita ketepikan orang yang berlainan ideologi tetapi kita mengajak semua masyarakat bersama dengan kita agar mereka akan tahu perjuangan kita, insya-Allah.

“Kaedah kita bukannya mendekati ahli UMNO sahaja tetapi kita mendekati semua masyarakat terutama orang muda. Kita bermula program di peringkat sekolah lagi.

“Kita dekati, biarlah mereka tahu wujudnya UMNO ini. Mereka tahu bahawa kita sentiasa membantu masyarakat dan itu adalah penting,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Jelajah Penerangan UMNO peringkat Bahagian Tampin, di bangunan UMNO Tampin, semalam.

Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Nizar; Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob serta kepimpinan UMNO bahagian Tampin.

Isam yang juga Ahli Parlimen Tampin menjelaskan UMNO yang berada dalam Kerajaan Perpaduan, kekal berprinsip serta membantu rakyat.

“Kita kena jelaskan kepada masyarakat di bawah, apakah sebenarnya Kerajaan Perpaduan pada hari ini? Apakah sebenar UMNO nak laksanakan? Apakah sebenarnya UMNO nak diperjuangkan?

“Kita masih lagi kekal dengan prinsip kita memperjuangkan agama, bangsa dan negara dan itu tak pernah berubah.

“Pihak pembangkang menggunakan seolah-olah UMNO mendukung Dap. Seolah-olah kita ini menjadi kuda tunggangan Dap. Itu tidak benar sama sekali dan tak pernah berlaku. Sebab UMNO kekal berprinsip, kekal memperjuangkan nasib agama, memperjuangkan hak bumiputera dan negara,” tegasnya.

Dilaporkan, pada 14 Mei lalu Majlis Pelancaran Jelajah Penerangan UMNO telah disempurnakan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan turut dihadiri oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said dan juga kepimpinan bahagian-bahagian yang terbabit. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.