UMNO/BN Perlu Bekerja Lebih Keras… Raih Semula Sokongan Pengundi

TAPAH, 24 Mei – UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu bekerja keras dan mempergiatkan usaha agar dapat meraih sokongan pengundi di negeri-negeri yang pernah ditakluki dan seterusnya membentuk Kerajaan dalam pilihan raya kelak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pada ketika ini hanya empat negeri yang menteri besarnya adalah daripada UMNO.

“Kita ada 14 negeri di Malaysia dan 13 daripadanya ada menteri besar. Daripada 13 ini, kita hanya ada empat menteri besar daripada UMNO iaitu di Perak, Pahang, Melaka dan Johor.

“Daripada 13 tersebut, mana lagi sembilan? Pertama sekali saya nak sebut Pas. Mereka ada menteri besar di Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Empat buah negeri ini ditadbir oleh Pas.

“Kemudian Pakatan Harapan (PH) pula ada menteri besar di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah. UMNO tiada di Sarawak. Satu lagi yang tiada menteri besar ialah Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Program Jelajah Penerangan UMNO Malaysia yang diadakan di Bangunan UMNO Tapah, pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa jalan cerita pembentukan Kerajaan Negeri Perak dan Pahang adalah lebih kurang sama seusai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

“Kalau kita lihat di Perak ini, penceramah kita dah ulas panjang bagaimana pembentukan kerajaan di negeri ini yang memperlihatkan tiada kerajaan dominan dapat dibentuk. Pada akhirnya, kita membentuk kerajaan Perpaduan di Perak. Begitu juga di Pahang… mereka mempunyai jalan cerita yang sama seperti Perak.

“Beginilah keadaannya kedudukan kita di negeri-negeri. UMNO/BN perlu bekerja dengan keras pada PRU akan datang agar dapat merampas semula negeri-negeri kita seterusnya menubuhkan Kerajaan Persekutuan secara dominan,” katanya.

Untuk rekod, UMNO Bahagian Tapah merupakan lokasi kedua untuk Program Jelajah Penerangan UMNO Malaysia selepas UMNO Bahagian Jerantut.

Turut hadir ke majlis tersebut Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Hang Tuah Din, Ketua UMNO Bahagian Tapah, Ishsam Shahruddin, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tapah, Meor Haris Meor Hakim dan seluruh kepimpinan bahagian empat peringkat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.