Jelajah Penerangan UMNO Ke Bahagian Tampin, Teruskan Misi Terangkan Isu-isu Semasa

TAMPIN, 24 Mei – Jelajah Penerangan UMNO Malaysia meneruskan siri kembaranya ke UMNO bahagian Tampin dengan misi menyantuni dan menerangkan isu-isu semasa kepada anggota di peringkat akar umbi.

Ia menjadi lokasi ketiga jelajah tersebut yang diadakan di Pejabat UMNO Bahagian Tampin, hari ini.

Program kali ini dihadiri lebih 150 ahli akar umbi dan kepimpinan UMNO bahagian Tampin yang diketuai Datuk Mohd Isam Mohd Isa merangkap Ahli Parlimen di sini. 

Turut hadir sebagai penceramah ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tampin, Md Amin Mohd Riffa di samping kepimpinan bahagian dan ahli UMNO.

Pelbagai pengisian dan sesi penerangan disediakan oleh pihak Penerangan UMNO Malaysia dalam usaha membantu ahli dan kepimpinan akar umbi berdepan senario politik yang dinamik hari ini.

Terdahulu, program sedemikian telah berlangsung di Jerantut diikuti Tapah pada 22 Mei lalu.

Dilaporkan, pada 14 Mei lalu Majlis Pelancaran Jelajah Penerangan UMNO telah disempurnakan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan turut dihadiri oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said dan juga kepimpinan bahagian-bahagian yang terbabit. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.