Jelajah Penerangan UMNO: Ishsam Rakam Terima Kasih, Akui Peroleh Banyak Manfaat

TAPAH, 22 Mei – Ketua UMNO Bahagian Tapah, Ishsam Shahruddin berkata, banyak manfaat telah diperoleh oleh para pemimpin dan akar umbi khususnya di bahagian tersebut sempena penganjuran Jelajah Penerangan UMNO Malaysia yang dianjurkan pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning merakamkan ucapan terima kasih kepada Penerangan UMNO Malaysia yang diketuai oleh Datuk Seri Azalina Othman Said kerana telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan program ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih khususnya para pendukung UMNO kerana sanggup hadir pada hari ini. Untuk pengetahuan ahli-ahli UMNO yang saya kasihi, ini adalah Program Jelajah Penerangan UMNO Malaysia dan Tapah merupakan bahagian yang kedua. Siri pertama dianjurkan di Jerantut.

“Sesungguhnya secara peribadi saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Penerangan UMNO Bahagian, Meor Haris Meor Hakim yang telah pun mengambil inisiatif bersama-sama dengan kepimpinan UMNO dalam menjemput ahli-ahli UMNO untuk program kita pada hari ini.

“Banyak manfaat yang telah kita peroleh. Di Tapah ini kita ada masyarakat orang Asli yang paling ramai di Malaysia. Alhamdulilah kita dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tempoh hari, kita menang 2-1. Kita kalah di Chenderiang. Kita menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dan Parlimen Tapah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Program Jelajah Penerangan UMNO Malaysia yang diadakan pada Rabu.

Menurutnya, para pemimpin dan akar umbi di Tapah telah dilatih untuk bekerja dengan lebih kuat agar mendapat kemenangan di setiap pilihan raya yang ditandingi di samping mencipta perasaan kasih dan hormat sesama ahli.

“Kita UMNO di Bahagian Tapah telah dilatih oleh kepimpinan terdahulu… mereka telah memberi penekanan khususnya kepada ahli-ahli UMNO kepada kepimpinan di peringkat akar umbi supaya kita kena bekerja dengan kuat untuk kita memperoleh kejayaan dalam di setiap pilihan raya kita tandingi.

“Maka, mereka juga mengajar kami supaya ahli UMNO mengurangkan perbalahan sesama kami agar kami ini mempunyai sifat kasih dan hormat. Itu sebabnya ini merupakan kekuatan ini UMNO Bahagian Tapah untuk meneruskan perjuangan parti. Rasa tidak puas hati itu mungkin ada, tetapi mereka tidak pernah meninggalkan dasar perjuangan parti,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar segala agenda dan perjuangan parti dapat diteruskan kerana banyak jasa telah diberikan oleh UMNO dalam membentuk Malaysia sebagai sebuah negara maju seperti hari ini.

“Saya akan pastikan supaya kita semua dapat meneruskan agenda mempertahankan kerusi Parlimen Tapah ini pada PRU akan datang. Inilah harapan kami. Banyak jasa UMNO kepada kita apatah lagi jasanya yang memerdekakan negara. Banyak dasar yang telah UMNO buat untuk memajukan negara dan bangsa.

“Kita telah melahirkan banyak negarawan daripada bangsa kita sendiri terutamanya yang memimpin negara dan akan meneruskannya pada generasi akan datang. Mudah-mudahan inilah semangat kita untuk kita tinggalkan kepada anak cucu kita pada masa akan datang,” katanya lagi.

Untuk rekod, UMNO Bahagian Tapah merupakan lokasi kedua untuk siri Jelajah Penerangan UMNO Malaysia selepas ianya dianjurkan di Jerantut pada minggu lalu.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Hang Tuah Din, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tapah, Meor Haris Meor Hakim dan seluruh kepimpinan empat peringkat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.