UMNO Tapah Tekad Pertahan Kemenangan, Bekerja Keras Menangi Hati Pengundi

TAPAH, 22 Mei – UMNO Bahagian Tapah bertekad untuk mempertahankan kemenangan yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu dan akan terus bekerja keras bagi mendapat tempat di hati pengundi.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tapah, Meor Haris Meor Hakim berkata, UMNO Bahagian Tapah giat melaksanakan pelbagai aktiviti seusai PRU lalu dan menggerakkan seluruh jentera dari semua sayap.

“UMNO Bahagian Tapah telah melaksanakan pelbagai aktiviti di bahagian selepas sahaja Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu. Ianya digerakkan oleh UMNO Bahagian Tapah, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri, dan juga Veteran.

“Program ziarah merupakan salah satu program yang sinonim dengan Wanita UMNO. Saya ucapkan tahniah kepada Wanita. Kita juga ada program-program lain bersama dengan pergerakan puteri, pemuda, dan juga veteran.

“Menjelang mesyuarat cawangan-cawangan pada 2024 yang lalu, UMNO Bahagian Tapah dengan kerjasama Biro Penerangan UMNO Bahagian telah mengadakan taklimat serta penerangan isu-isu semasa kepada pegawai-pegawai cawangan mengikut zon dengan kehadiran menggalakkan dari semua cawangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Program Jelajah Penerangan UMNO Malaysia yang berlangsung sebentar tadi.

Menurutnya, sepanjang program penerangan isu semasa tersebut berlangsung terdapat pelbagai persoalan yang telah ditimbulkan oleh akar umbi.

“Dalam sesi tersebut pelbagai persoalan telah dibangkitkan dan ia menimbulkan keresahan daripada akar umbi. Antaranya, hubungan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan, pembebasan Datuk Seri Najib dan dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan yang dilihat kurang berpihak kepada kita.

“Saya harap persoalan tersebut dapat diperjelaskan. UMNO Bahagian Tapah tidak terhenti setakat ini. Siri jelajah penerangan akan dilaksanakan sehingga PRU akan datang. Insya-Allah ia akan dimulakan sebaik sahaja selesai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan datang selesai.

“Sebelum undur diri sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa UMNO Bahagian Tapah akan terus mempertahankan kemenangan ini. Kami di Bahagian Tapah masih sayangkan kepada parti. Kita semua masih sayangkan kepada UMNO. Saya sangat berharap untuk terus berkerja. Kita elakkan sengketa agar BN dan UMNO terus mendapat tempat di hati para pengundi,” katanya lagi.

UMNO Bahagian Tapah merupakan bahagian kedua yang terpilih untuk siri Jelajah Penerangan UMNO Malaysia.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Hang Tuah Din, Ketua UMNO Bahagian Tapah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin dan seluruh kepimpinan empat peringkat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.