Jelajah Penerangan UMNO: Tapah Bahagian Kedua, Tumpu Pencerahan Isu Semasa

TAPAH, 22 Mei – Penerangan UMNO Malaysia yang diketuai Datuk Seri Azalina Othman Said meneruskan siri jelajahnya dengan Bahagian Tapah menjadi lokasi kedua bagi memberi tumpuan untuk pencerahan isu-isu semasa kepada akar umbi.

Diadakan di Bangunan UMNO Tapah, program ini dimulakan seawal jam 9.00 pagi dengan ucapan aluan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tapah, Meor Haris Meor Hakim disusuli dengan pelbagai pengisian yang mampu menambah pengetahuan isu semasa akar umbi.

Program diteruskan lagi dengan ucapan Ketua UMNO Bahagian Tapah, Ishsam Shahruddin dan ucaptama oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Dilaporkan, pada 14 Mei lalu Majlis Pelancaran Jelajah Penerangan UMNO telah disempurnakan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan turut dihadiri oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said dan juga kepimpinan bahagian-bahagian yang terbabit.

Azalina dalam ucapannya semasa majlis terbabit memaklumkan bahawa Penerangan UMNO Malaysia akan terus melipatgandakan lagi usaha dalam memperkasakan jenteranya di setiap peringkat bagi memastikan imej UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus kukuh.

Katanya, pelbagai strategi yang sedang diatur malah usaha berkenaan bukanlah satu perkara yang mustahil kerana apa yang utama adalah semua pihak perlu bergerak khususnya menguasai penerangan dan komunikasi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.