Ahmad Zahid Serius Pastikan Keadilan, Laksana Perintah Titah Adendum – Mohd Zaidy
KUALA LUMPUR, 19 April- Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, pendedahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di dalam afidavit mengenai wujudnya Titah Adendum supaya Datuk Seri Najib Razak menyempurnakan baki tahanannya di rumah membuktikan beliau serius mahu memastikan keadilan sewajarnya diberikan kepada bekas Perdana Menteri itu.
Tegasnya, menerusi afidavitnya Ahmad Zahid juga mendakwa bukan hanya beliau seorang yang melihat Titah Adendum itu, sebaliknya ia ditunjukkan kepadanya menerusi tangkap layar telefon bimbit oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
“Justeru, Kerajaan digesa supaya melaksanakan perintah Titah Adendum oleh Seri Paduka Baginda Agong ketika itu seperti sepatutnya.
“Ini adalah selari dengan kuasa yang diberikan kepada Baginda untuk memberi pengampunan atau mengurangkan hukuman kepada mana-mana individu yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.
“Diharapkan pihak yang mengetahui mengenai Titah Adendum ini perlu memperakui kesahihan kewujudannya dan bukannya berdiam diri,” katanya.
Mengulas lanjut, titah Yang dipertuan Agong seharusnya dijunjung dan rakyat perlu tahu mengenai kebenaran tersebut.
“Apa pun, rakyat mahu tahu mengenai kebenaran dan rakyat mahu persoalan mengenai perkara ini dirungkaikan.
“Ingatlah, titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong seharusnya dijunjung bukannya diabaikan begitu sahaja,” ujarnya.
Pada Rabu media melaporkan ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, disahkan ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Titah Adendum itu menitahkan supaya bekas Perdana Menteri berkenaan menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah. – UMNO Online