PEMENANG Saran Bangunkan Projek Perumahan Rakyat Mampu Milik, Bangunkan Kawasan Peninggalan Penjajah

KUALA LUMPUR, 5 April – Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) hari ini mencadangkan kerajaan supaya membangunkan projek perumahan rakyat mampu milik di beberapa buah Kampung Baru Cina (New Village) termasuk di Negeri Pulau Pinang.

Presiden PEMENANG Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, ini kerana beberapa buah kawasan Kampung Cina itu terletak di kawasan yang strategik dan dikelilingi oleh projek-projek pembangunan bandar.

“Sebagai contohnya Kampung Baru Cina Pulau Pinang di Berapit, Bukit Mertajam terletak dalam kawasan bandar dan tidak lagi sesuai dikekalkan sebagai sebuah perkampungan tertutup untuk sesuatu kaum sahaja kerana permintaan rumah di kawasan Bukit Mertajam adalah tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

Jelasnya, sebagai contoh PEMENANG mendapati adalah sesuatu yang merugikan jika tanah yang telah menjadi permata di Pulau Pinang dikekalkan sebagai Kampung Baru dengan rumah yang dibina sejak tahun 1950 itu sedangkan ia dikelilingi oleh rumah-rumah mewah.

Beliau berkata, kerajaan perlu memikirkan keperluan rakyat kerana rumah adalah keperluan asas yang kini semakin sukar untuk dimiliki oleh golongan marhain di Pulau Pinang.

Dilaporkan baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming telah mencadangkan tujuh daripada Kampung Baru Cina termasuk satu di Pulau Pinang untuk dijadikan sebagai tapak warisan dan cadangan itu telah mendapat bantahan pelbagai pihak kerana Kampung Baru Cina itu diwujudkan oleh British sebagai usaha mengekang sokongan kaum Cina kepada pasukan Komunis.

“Sejarah Kampung Baru Cina yang dicadangkan pada tahun 1949 dan telah dilaksanakan pada tahun 1950.

“Cadangan bagi menempatkan semula lebih kurang 500 ribu penduduk Cina di 400 perkampungan baru adalah dari Lt Gen Sir Harold Briggs, Pengarah Operasi, untuk mengekang kemaraan komunis di Malaya sebagai usaha untuk menyekat kaum Cina memberi bekalan makan kepada pihak komunis.”

Yussof berkata, sudah tiba masanya kerajaan bersikap lebih terbuka dan membangunkan kawasan-kawasan peninggalan penjajah untuk dimajukan demi kepentingan rakyat dan bukan lagi untuk kepentingan pihak-pihak tertentu sahaja.

“Mewartakan sesebuah tapak sebagai warisan perlulah mempunyai nilai warisan yang benar-benar mempunyai nilai sejarah atau kebudayaan dan PEMENANG berpendapat Kampung Baru tidak mempunyai nilai sejarah mahupun kebudayaan yang harus dikekalkan,” kata beliau lagi yang turut mencadangkan agar projek perumahan rakyat ini sesuai dinamakan ‘Projek Perumahan Sejahtera Madani’. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.