UMNO/BN Sabah Tetapkan Tiga Kriteria Pilih Calon PRN17 – Bung Moktar

SANDAKAN, 29 Mac – UMNO/Barisan Nasional (BN) Sabah menetapkan tiga kriteria utama iaitu ‘winnability’ (boleh menang), ‘acceptability’ (dapat diterima) dan ‘likeability’ (disenangi) dalam memilih calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kriteria ini penting bagi memastikan calon yang bakal dipilih akan menghadiahkan kemenangan kepada parti untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRN17.

Menurut beliau, memang sukar untuk memilih calon yang benar-benar diterima semua lapisan rakyat untuk bertanding di satu-satu kawasan, namun pilihan perlu dibuat dengan mengambil kira tiga faktor iaitu diterima, disenangi dan boleh menang selain beberapa aspek lain turut menjadi perkiraan.

“Selain tiga keteria ini, UMNO/BN akan memilih calon yang tidak mempunyai sebarang konflik yang boleh memudaratkan dan membawa kekalahan kepada parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa UMNO Sabah Zon 5 yang melibatkan UMNO Bahagian Kinabatangan, Libaran, Beluran, Batu Sapi dan Sandakan di Masjid Raya Seri Aman Pekan Muhibah, dekat sini pada Khamis.

Menurut Bung yang juga Ketua UMNO Sabah siapa pun yang bakal dipilih oleh pucuk pimpinan sebagai calon yang akan bertanding dalam PRN17 akan datang, prinsip perjuangan dan kesetiaan dalam parti perlu ada.

“Jangan hanya kerana tidak terpilih menjadi calon kita terus mengadaikan maruah menyertai parti lain, mensabotaj calon dipilih dan sebagainya. Sebagai pejuang, keutamaan kita adalah parti dan kemenangan dalam PRN,” jelas Bung.

Menurutnya, isu calon akan menjadi elemen utama dalam PRN17, namun anggota UMNO/BN di semua peringkat perlu berfikiran terbuka dan mengambil sikap berlapang dada berhubung soal tersebut.

Namun begitu kata Bung yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, ketika ini masih terlalu awal untuk bercakap soal calon kerana apa yang lebih penting UMNO/BN Sabah perlu terus memperkukuh jentera pada semua peringkat.

Beliau berkata memperkukuhkan jentera parti amat penting dalam memastikan UMNO/BN benar-benar bersedia menghadapi (PRN17).

“Persiapan menghadapi (PRN17) perlu diperincikan untuk memastikan UMNO dan BN mendapat mandat rakyat bagi mengambi alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri yang ketika ini gagal membela rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai peluang UMNO/BN untuk menjadi pilihan pengundi pada PRN17 akan datang, Bung mahu rakyat di negeri ini memberi peluang kepada parti terbabit serta gabungannya untuk menyelesaikan beberapa perkara termasuk masalah air, jalan raya, elektrik dan ekonomi yang semakin meruncing ketika ini.

“UMNO/BN pernah menjadi tunjang kerajaan negeri selama 24 tahun dan sepanjang tempoh tersebut isu-isu prasarana bekalan air bersih, jalan raya dan bekalan elektrik tidaklah seteruk hari ini.

“Mungkin alasan kerana kepesatan pembangunan, keperluan pengguna meningkat atau faktor cuaca, tapi jika kerajaan mempunyai perancangan yang lebih bersistemetik dan tindakan yang konkrit, keadaan hari ini tidaklah memberikan tekanan kepada kehidupan rakyat,” katanya.

Mengulas pula berkaitan Majlis Berbuka Puasa UMNO Sabah, Bung berkata sambutan luar biasa dari kalangan ahli UMNO dan rakyat begitu memberansangkan.

“Ini memberikan gambaran aura atau gelombang sokongan rakyat masih ada terhadap parti keramat UMNO ditambah berikutan kegagalan kerajaan negeri yang berhadapan dengan pelbagai konflik kehidupan terutamanya kemudahan asas yang belum berkesudahan,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.