UTM Universiti Pertama Di Malaysia Tawar Ijazah Sarjana Muda AI – Zambry

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi fakulti pertama yang menawarkan bidang pengajian teknologi kecerdasan buatan (AI), kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Menurut beliau, silibus yang diperkenalkan pada kursus tersebut adalah menepati dengan kehendak pasaran.

“Terkini KPT dengan kerjasama UTM sedang membangunkan fakulti pertama di Malaysia sebagai satu usaha memenuhi keperluan semasa.

“Sebagai permulaan program ijazah sarjana muda kecerdasan AI telah diluluskan di peringkat Jawatankuasa Pendidikan Tinggi pada Januari 2024, para pelajar kohort pertama program ini akan dimulakan pengajian pada Oktober 2024.

“Pembangunan dan kurikulum AI tersebut telah dikenalpasti menepati keperluan industri melibatkan pakar-pakar bidang tersebut serta seiring dengan pelan hala tuju kecerdasan buatan negara 2021-2025 yang dirangka Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi,” katanya pada waktu pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) turut berkata langkah tersebut adalah salah satu usaha merealisasikan agenda negara ke arah membangunkan bakat-bakat mahir untuk memenuhi kehendak industri dan graduan kalis masa hadapan.

“Kursus-kurus yang ditawarkan di IPT perlulah selari dengan IR 4.0 dan juga berkait dengan AI yang merupakan keperluan semasa di dalam sektor pekerjaan dan ekonomi.

“KPT juga telah membangunkan kerangka pembangunan program teknologi bernilai tinggi, bertujuan untuk menghasilkan graduan yang mampu mendepani lanskap pekerjaan yang sentiasa berubah dan penuh dengan persaingan di dalam era IR 4.0,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.