Penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen Akan Dibentangkan Tidak Lama Lagi – Azalina

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen yang baharu akan dibentangkan tidak lama lagi.

Beliau berkata langkah reformasi ini adalah selaras dengan matlamat Kerajaan Madani ke arah memartabatkan doktrin pengasingan kuasa antara badan perundangan dengan badan eksekutif, dan akan terus memperkasakan semangat perlembagaan.

“Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Perdana Menteri ke-10 dan ahli-ahli Jemaah Menteri komited dan telah bersetuju secara prinsip bagi meminda Perlembagaan Persekutuan dan menggubal Akta Perkhidmatan Parlimen yang baharu.

“Antara lain bagi memberikan kuasa autonomi pentadbiran dan kewangan kepada Parlimen serta mewujudkan Majlis Perkhidmatan Parlimen untuk mengendalikan semua urusan pentadbiran Parlimen Malaysia di bawah skim perkhidmatan baharu.

“Ia merupakan prioriti Kerajaan Madani bagi terus meningkatkan imej dan peranan Parlimen sebagai institusi perundangan tertinggi dalam negara serta meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia mengenai integriti Parlimen dalam menjalankan tanggungjawabnya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada waktu pertanyaan lisan bagi menjawab soalan daripada Chow Yu Hui (PH – Raub) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, bagi merealisasikan usaha reformasi ini, beberapa sesi libat urus yang berkesan telah diadakan pada tahun 2023 dan 2024.

Menurut beliau, sesi tersebut dihadiri oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Setiausaha Dewan Negara, Setiausaha Dewan Rakyat, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Peguam Negara(AGC) serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM).

“Berikutan maklum balas yang diterima daripada JPA dan MOF, pihak BHEUU, JPM telah mengambil inisiatif untuk mengadakan satu mesyuarat penyelarasan pada bulan Februari 2024 bersama SPA, JPA, MOF dan AGC bagi meneliti aspek saraan dan pencen bagi pegawai-pegawai di bawah Skim Perkhidmatan Parlimen, bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terjaga.

“Memorandum Jemaah Menteri yang lebih komprehensif sedang disediakan oleh BHEUU, JPM bagi memastikan Kerajaan Madani dapat membentangkan cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan serta Akta Perkhidmatan Parlimen yang baharu dalam masa yang terdekat ini,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.