Malaysia-Jerman: Pertemuan Penuh Bermakna, Harap Hasilkan Kerjasama Lebih Luas – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Menteri Luar merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Canselor Jerman Olaf Scholz di Berlin dapat menghasilkan jalinan kerjasama yang lebih luas.

Katanya, pertemuan tersebut bukan sahaja untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan, malah untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam semua bidang buat kedua-dua negara.

 

“Sebelah petang YAB Perdana Menteri kemudiannya mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat, TYT Olaf Scholz, Canselor Republik Persekutuan Jerman di Canselori Persekutuan.

“Pertemuan penuh bermakna ini diharap dapat menghasilkan jalinan kerjasama yang lebih luas, bukan sahaja dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan, malah untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam semua bidang buat kedua-dua negara.

“Mesyuarat dua hala diadakan sambil berbuka puasa di pejabat Canselor,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Mohamad menyertai delegasi Malaysia yang diketuai oleh Anwar bagi lawatan rasmi selama lima hari ke Jerman

 

Lawatan Anwar ini turut disertai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Kunjungan ke Jerman merupakan lawatan balas kepada Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier yang melawat Malaysia pada Februari tahun lalu.

Sebelum berangkat pulang ke tanah air pada 15 Mac ini, Perdana Menteri dijadualkan menghadiri Majlis Makan Malam Persahabatan Asia Timur ke-101 di Hamburg. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.