Kerajaan Madani Komited Perkasa Parlimen, ‘Kami Cakap, Kami Buat’ – Azalina

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Kerajaan Madani komited memperkasa Parlimen sebagai kuasa autonomi pentadbiran dan kewangan dalam menentukan hala tuju badan itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, ia bagi memberi kebebasan kepada badan itu untuk sebarang keputusan yang dibuat.

“Kita hendakkan Parlimen bebas mempunyai kuasa sendiri menentukan hala tuju, kemudahan, bukan sahaja speaker, setiausaha Dewan Rakyat, staf Parlimen bahkan ahli-ahli Parlimen kedua-dua pihak.

“Itu kita hendak tengok berlaku dalam zaman Kerajaan Madani. Itu sebabnya Kerajaan Madani ini kami cakap, kami buat.

“Saya sudah bincang dengan speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Perdana Menteri baru-baru ini, kalau boleh kita hendak supaya buat pindaan ini sekali dengan pindaan Kewarganegaran yang hendak dibuat oleh Menteri Dalam Negeri sebab hendak dapat undi 148 ke atas.

“Tapi saya rasa semua dalam dewan ini akan beri sokongan 222, saya yakin kerana kemudahan pindaan Perlembagaan ini bukan sahaja rakyat tetapi kita semua sebagai ahli Parlimen,” katanya pada waktu pertanyaan lisan bagi menjawab soalan daripada Chow Yu Hui (PH – Raub) di Dewan Rakyat, hari ini.

Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, ini kerana kuasa autonomi Parlimen itu pernah dilaksana namun ditarik balik.

“Seperti yang kita tahu kuasa ini pernah ada di negara kita tetapi telah ditarik pada 1993 ia ditarik kerana pada masa itu menganggap Parlimen tidak boleh sangat bersuara.

“Saya harap pada kali ini kuasa ini diberi balik supaya Parlimen boleh bersuara dan sesiapa yang berada sebagai kerajaan mesti bertanggungjawab kepada rakyat melalui ahli Parlimen mereka tidak kisahlah menyokong kerajaan atau pembangkang,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.