KEB: Jangan Apologetik… Orang Melayu Harus Dibantu Sehingga Setara Bangsa Lain – Suraya

ALOR GAJAH, 13 Mac – Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaakob berpandangan bahawa orang Melayu harus dibantu sehingga setara dengan bangsa lain dari sudut ekonomi maka jangan apologetik mengenai Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) mahupun Dasar Ekonomi Baharu (DEB).

Tegasnya, KEB dilaksanakan untuk mengatur dan memperbetulkan semula pakej-pakej ekonomi yang telah ditetapkan pada DEB lalu agar ia bergerak seiring dengan zaman.

“Kita tak buat KEB kerana DEB gagal. Kita tahu bahawa kita perlu ‘accelerate’ DEB. Kita nak mengatur, memperbetul dan jadikannya lebih baik. Kalau dulu semua anak-anak masuk universiti, sekarang kita nak mereka berada di tahap pengajian lebih tinggi.

“Kalau dahulu gaji mereka RM4,000, sekarang kita nak berada di tahap lebih tinggi. Itulah yang nak kita laksanakan. Betul, kadar 17 peratus telah ditetapkan pada DEB lalu namun jumlah rakyat pada ketika itu adalah 15 juta… sekarang, 17 peratus daripada 33 juta rakyat Malaysia.

“Cuma ‘frame’ gaji itu yang masih kecil dan kita masih ada miskin tegar serta mudah miskin. Ini yang mahu kita tangani supaya semua orang Melayu keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Kursus Pengukuhan Komunikasi Pergerakan Pemuda dan Puteri, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa bantuan yang dibekalkan kepada orang Melayu sama sekali tidak melemahkan ataupun memalukan.

“Selagi bangsa Melayu masih ketinggalan, kita perlu beri bantuan iaitu sampai mereka setara dengan bangsa lain, kita boleh tarik keluar ‘tongkat’ tersebut. Kita masih belum sampai sama tahap dan memberi bantuan ini sama sekali tidak melemahkan mahupun memalukan orang Melayu.

“Kita perlu beri bantuan sehingga tiada sesiapa pun yang keciciran dan ketinggalan, kita akan teruskan dengan Perkara 153. Jangan malu, apologetik langsung mengenai KEB ataupun DEB,” katanya lagi.

Dilapokan, KEB 2024 yang berlangsung pada 29 Februari sehingga 2 Mac lalu adalah landasan dalam proses pemerkasaan ekonomi Bumiputera, seterusnya bermatlamat merapatkan jurang antara kaum di Malaysia.

Matlamat kongres ini adalah mencadangkan hala tuju dan pendekatan baharu serta penambahbaikan agenda pemerkasaan Bumiputera lebih adil, saksama dan inklusif serta pendekatan baharu untuk mengukur tahap penyertaan dan kawalan ekonomi Bumiputera lebih bermakna.

KEB 2024 menggariskan lebih 80 resolusi sebagai agenda pemerkasaan Bumiputera, diperoleh hasil libat urus dikelolakan menerusi 10 kluster merangkumi pelbagai aspek dibentangkan sepanjang tiga hari berlangsung kongres berkenaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.