Imarahkan Ramadan: Siti Aminah Salur Sumbangan Untuk Manfaat Komuniti Di Parlimen Beaufort

BEAUFORT, 13 Mac – Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching menyumbang RM44,500 kepada 89 masjid dan surau di kawasan Parlimen terbabit bagi membiayai aktiviti masjid dan surau sepanjang Ramadan ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata sumbangan menerusi peruntukan Ihya’ Ramadan bertujuan membantu institusi agama terbabit dan umat Islam melaksanakan program pengimarahan.


“Kita amat menggalakkan masjid dan surau menjalankan program iftar bagi mengeratkan silaturahim antara umat Islam yang sering dihambat dengan kesibukan.

“Umat Islam perlu mengambil kesempatan dengan kedatangan Ramadan untuk mengimarahkan masjid dengan solat fardu dan tarawih setiap malam. Perbanyakkan takbir dan tahmid serta amal ibadat lain,” katanya ketika ditemui selepas majis penyerahan sumbangan kepada pengerusi masjid dan surau seluruh kawasan Parlimen Beaufort baru-baru ini.

Siti Aminah yang juga Ketua Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) turut mengajak umat Islam agar menunjukkan tauladan yang baik dalam memelihara perpaduan dan keharmonian kaum selain berusaha untuk mempertahankan kesucian agama Islam.

Katanya, hari ini umat Islam menghadapi pelbagai ujian dan cabaran maka, amat penting untuk mempertahankan kesucian Islam dari diperkotak-katikan oleh musuh Islam.

Dalam pada itu Siti Aminah berkata, sepanjang bulan Ramadan tahun ini Pusat Khidmat Parlimen Beaufort dengan kerjasama UMNO Bahagian Beaufort telah pun menyusun atur program ziarah Ramadan hampir 30 buah masjid yang terpilih di kawasan terbabit.

“Kita akan turun ke lapangan bersama kepimpinan UMNO bahagian bagi program ziarah Ramadan selain berbuka puasa, kita juga akan solat berjemaah fardu dan sunat tarawih.

“Selain itu ada juga program-program tambahan seperti memasak bubur dan penyerahan sumbangan kepada golongan yang kurang berkemampuan,” katanya lagi.

Hadir sama di majlis tersebut Ketua UMNO Bahagian, Datuk Awang Aslee Lakat; Naib Ketua bahagian, Md Rashid Mathon; Setiausaha UMNO bahagian, Abdul Rahman Taib; Ketua Wanita bahagian, Juriffah Safflie dan Ketua Pergerakan Puteri bahagian, Munira Sarrie. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.