Lawatan Ke Jerman: Kerjasama TNB-Siemens Energy Pemangkin Inovatif Penggunaan Hidrogen Di Malaysia – Tengku Zafrul

BERLIN, 12 Mac – Kerjasama di antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Siemens Energy mampu menjadi pemangkin kepada penyelesaian inovatif penggunaan hidrogen di Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, TNB dan Siemens Energy telah memeterai memorandum persefahaman pada tahun lalu.

“Hidrogen sebagai sumber kuasa untuk TNB? Lawatan di Jerman dimulakan dengan mengunjungi Siemens Energy yang merupakan salah satu peneraju global dalam teknologi tenaga.

“Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Siemens Energy telah memeterai memorandum persefahaman tahun lalu. Ia bertujuan untuk mempercepatkan penyahkarbonan jana kuasa termal TNB, menggunakan hidrogen hijau yang dihasilkan daripada sumber tenaga boleh diperbaharui.

“Selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR), kerjasama TNB dan Siemens Energy mampu menjadi pemangkin untuk meneroka teknologi dan penyelesaian yang inovatif bagi penggunaan hidrogen di Malaysia,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Pada Isnin media melaporkan bahawa Tengku Zafrul mengadakan lawatan tersebut dengan membawa misi pelaburan ke Munich dan ianya akan berlangsung semasa jeda lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut laporan, Anwar telah tiba di ibu negara Jerman pada 10.29 malam Ahad waktu tempatan (5.29 pagi Isnin waktu Malaysia) dan dijangka akan berada di sana sehingga 15 Mac 2024.

Turut serta dalam lawatan tersebut adalah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Jerman adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah sejak tahun 2000 manakala Malaysia merupakan rakan perdagangan terbesar Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Pada 2023, nilai dagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (US$13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (US$13.62 bilion). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.