JKM Jalan Operasi Tangani Isu Pengemis Di Kuala Lumpur Dan Kawasan Hotspot Lain – Noraini

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad memaklumkan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menjalankan beberapa tindakan dalam usaha menangani isu pengemisan secara jangka pendek dan jangka panjang.

Katanya yang juga Ketua Wanita UMNO, antara usaha-usaha yang sedang dilakukan adalah melalui ops menyelamat orang-orang papa secara serta merta (ad-hoc), berjadual atau berkala di kawasan-kawasan ‘hotspot’ seperti di pusat bandar Kuala Lumpur.

“Mengambil kira terdapat Akta-akta lain yang turut dikuatkuasakan oleh agensi-agensi seperti yang saya sebutkan tadi, JKM menjalankan operasi-operasi ini secara bersepadu selaras dengan pelbagai akta berkenaan.

“Bagi jangka masa panjang, KPWKM kini sedang melaksanakan Kajian Semakan Semula Akta Orang-Orang Papa 1977 untuk melihat akta ini secara komprehensif bagi menambahbaik pengendalian isu orang papa dan gelandangan,” katanya pada waktu pertanyaan lisan bagi menjawab soalan daripada Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau memaklumkan dapatan kajian ini akan digunapakai sebagai asas pertimbangan dalam merasionalkan ketetapan berkaitan mekanisme penyelesaian isu pengemisan, gelandangan, aspek pemulihan dan penguatkuasaan.

Bagaimanapun Noraini berkata penyelesaian kepada isu ini bukan terletak di bahu kementerian semata-mata sebaliknya secara kerjasama dan sokongan semua pihak termasuk Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga orang awam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.