Dekati Belia, Manfaat Kebersamaan Dalam Pelbagai Bidang Terap Perjuangan UMNO

BEAUFORT, 12 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort, Ak. Mohd Yazri Ak. Mohd Yahya memaklumkan bahawa parti terbabit sentiasa mengaktifkan gerak kerja melibatkan golongan belia dalam usaha menerapkan kebersamaan bersama UMNO.

Ini kerana katanya, golongan belia merupakan pemimpin negara pada masa akan datang malah semangat pemupukan nilai-nilai positif iaitu kerjasama, perpaduan dan perjuangan yang kental penting bagi mereka menghadapi cabaran akan datang.

“Pemuda UMNO Bahagian Beaufort sentiasa mengaplikasi pelbagai medium dalam usaha melibatkan golongan muda untuk terus bersama dalam perjuangan parti dan kita memahami bahawa UMNO ini bukan soal politik semata-mata tetapi juga melibatkan bidang sukan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian hadiah bagi Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah merebut Piala Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort yang diadakan di kompleks sukan di sini, pada Ahad lepas.

Menurut Ak. Mohd Yazri, kejohanan ini bukan sekadar untuk mencari pemenang atau mencungkil bakat baharu dalam sukan bola sepak tapi mesej yang ingin disampaikan ialah soal kerjasama serta perpaduan iaitu antara eleman yang turut menjadi matlamat dalam kejohanan.

“Sukan bola sepak merupakan medium terbaik untuk membentuk sebuah masyarakat yang bersatu-padu dan harmoni.

“Tanpa semangat kesukanan, disiplin serta kerjasama dari pasukan yang terlibat sudah pasti mereka tidak akan mencapai kejayaan yang diharap-harapkan dan semangat ini boleh diterapkan dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.”

Beliau juga turut berpuas hati terhadap penyertaan, disiplin serta semangat yang ditunjukkan oleh peserta yang menyertai kejohanan kali ini.

“Sebanyak 20 pasukan telah terlibat dalam kejohanan ini melibatkan dua penyertaan dari luar daerah iaitu pasukan dari Lawas, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dalam kejohanan yang berlangsung selama dua hari.

“Kami (Pemuda UMNO Beaufort) merancang untuk cuba mengadakan sebuah kejohanan bola sepak terbuka pada masa akan datang setelah melihat kepada sokongan penyertaan yang baik pada edisi kali ini,” katanya.

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat yang turut dihadiri oleh Naib Ketuanya, Md Rashid Mathon; Setiausaha UMNO bahagian, Abdul Rahman Taib; Ketua Wanita UMNO bahagian, Juriffah Safflie dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO bahagian, Munira Sarrie.

Dilaporkan, pasukan Tenang FC muncul johan kejohanan tersebut mengenepikan pencabarnya MDB FT dengan jaringan 2 – 0 dalam perlawanan akhir yang disaksikan lebih dari 1,000 orang penonton.

Kemenangan ini melayakkan Tenang FC membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 berserta sebuah piala, medal dan hamper, sementara pasukan MDB FT yang menduduki naib johan memenangi hadiah wang tunai RM7,000 berserta piala, medal dan hamper. Tempat ketiga dimenangi bersama Pasukan Perkasa Padu dan HLDM City FC. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.