Ahmad Maslan Hargai Peranan Wanita UMNO, Tulang Belakang Penggerak Parti

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mendedahkan sejak penglibatan awal dalam UMNO lagi beliau sudah menyedari bahawa Wanita UMNO memainkan peranan penting yang bertindak sebagai tulang belakang parti.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya turut berkongsi pengalaman ketika mewakili Kelab UMNO Luar negara pada 1989, katanya pada waktu itu beliau sudah melihat kesungguhan dan komitmen ditunjukkan Wanita UMNO dalam menjalankan gerak kerja parti.

“Pengalaman lama saya bersama parti tahun 1989 dan berucap pada Perhimpunan Agung UMNO wakil kelab UMNO luar negara, masa itu umur 19 tahun dan keseluruhan yang saya lihat adalah sebagai menghargai Wanita UMNO.

“Wanita UMNO merupakan tulang belakang seluruh kejayaan selama ini. Mereka rajin bekerja tanpa banyak ‘songeh’, melakukan kerja Jalinan Rakyat, penuhkan korum, penuhkan majlis, sana sini adalah Wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program #HitamPutihKelabu: Pengaruh Wanita Membentuk Imej Positif Politik sempena sambutan Hari Wanita Sedunia. siaran ini juga turut disiarkan Facebook UMNO Online.

Menjangkau masa kini yang serba moden, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian dalam pada itu berkata wanita sudah diangkat peranan sebagai pembuat keputusan yang menjadi dasar kerajaan pada ketika ini.

Katanya lagi, penghargaan juga wajar diberikan atas dasar dan peluang diberikan kerajaan yang mengangkat wanita atas khidmat mereka kepada negara.

“Meskipun wanita tidak diberi peluang sangat untuk jadi calon cuma ada tempat diberi peluang sebagai contoh sudah 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan, dalam Bursa Malaysia sudah diberikan kepada wanita.

“Di universiti wanita tiga perempat manakala lelaki satu perempat wanita insya-Allah satu masa dan ketika akan menerajui dalam pelbagai bidang yang tertentu sebagai pegawai kerajaan, doktor, cikgu.

“Dalam lain keadaan, Malaysia meletakkan wanita di tempat yang tinggi dan kita berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa memandang tinggi kepada jasa-jasa wanita,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.