Tiada Orang Lama, Tiadalah Yang Baharu… Ahmad Zahid Seru Hargai Khidmat Veteran UMNO

BENTONG, 11 Mac – Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan penghargaan beliau dengan perkhidmatan diberikan Veteran UMNO kepada parti.

Beliau malah berkata pengalaman politik dimiliki oleh Veteran UMNO itu perlu dimanfaatkan di setiap bahagian bagi memastikan parti ini terus mekar dan relevan.

Kata Ahmad Zahid, pengalaman dimiliki Veteran UMNO ini sangat penting untuk dikongsikan bersama generasi baharu.

“Saya sangat yakin tidak ada baharu jika tidak ada yang lama… yang baru harus hormat orang lama. Manakala yang lama perlu menyayangi orang baharu kerana kita perlukan kesinambungan.

“Apa yang akan dilakukan oleh veteren, ketua-ketua bahagian jangan risau, cawangan-cawangan jangan risau. Ini masa dan ketika kita rapatkan saf barisan kepimpinan kita untuk perkasa dan hidupkan UMNO semula ini kerana perjalanan kita masih jauh,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada ucapan Penutup Perhimpunan Agung Kali ke-10 dan Konvensyen Nasional Kali ke-2 Veteran UMNO Malaysia yang diadakan di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, di sini semalam.

Turut hadir pada program tersebut Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan kepimpinan lain.

Dalam pada itu Ahmad Zahid juga percaya bahawa UMNO akan kembali menjadi pilihan rakyat suatu masa nanti dengan semangat dan gerak kerja sepasukan oleh pemimpin dan akar umbi dalam memartabatkan perjuangan rakyat.

Menurut beliau ini kerana, berdasarkan pengalaman terdahulu jelas menunjukkan Perdana Menteri terutama ketika kerajaan 22 bulan tidak mementingkan perjuangan mengangkat agenda Melayu/Islam.

“Ya pemimpin datang dan pergi… tetapi yakinlah terlalu ramai yang mengharapkan UMNO dominan semula untuk menjadi kerajaan.

“UMNO akan kembali gagah dan didukung semua oleh orang Melayu, di dalam parti dan luar parti kerana mereka sudah melihat selama 22 bulan dan 17 bulan.

“Ini kerana agenda-agenda Melayu/Islam telah dikesampingkan oleh mereka, kini Allah menentukan segalanya,” ujar beliau. ⁠- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.