PRN Sabah Ke-17: UMNO/BN Sabah Hati-Hati Kerjasama Dengan Parti Lain, Enggan Pisang Berbuah Dua Kali

SANDAKAN, 11 Mac – Bagi menghindari ‘pisang berbuah kali’ UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah mengambil langkah lebih berhati-hati sebelum mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pengajaran sebelum ini menjadi iktibar apabila sumbangan serta jasa UMNO/BN bagi memastikan kerajaan negeri dapat dibentuk selepas PRN Ke-16 telah dinafikan demi agenda politik.

“Kita mengambil iktibar dan pengajaran dari peristiwa ini, walau kita pada ketika itu tinggal serumah namun bilik asing-asing, ibarat melukut di tepi gantang, maka kali ini kita tidak mahu lagi selepas berunding nanti kita dikhianati,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Jelajah Akar Umbi (GERAK-17) UMNO Sabah di Dewan Uundangan Negeri (DUN) Sungai Manila, pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Setiausaha Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin; Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila Datuk Mokran Ingkat.

Bung yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan turut mengakui perbincangan memang ada diadakan, bagaimanapun pihaknya belum mengambil sebarang keputusan.

“Berbincang dan memutuskan adalah dua perkara berbeza. Kita ingin melihat mana-mana parti yang kita rasa boleh membawa keuntungan dan pemimpin parti itu juga menghormati parti kita dan keputusan bersama dilaksana,” katanya.

Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan ADUN Lamag, berkata UMNO/BN Sabah akan menjalin kerjasama dengan parti yang menghormati perjanjian bersama.

“Kita juga akan melihat rakan-rakan yang ada kesetiaan dan keikhlasan dalam melaksana tanggungjawab sebagai gandingan untuk memperjuang untung nasib rakyat Sabah, kita tidak mahu lagi krisis dalaman yang mengganggu usaha membangunkan Sabah,” katanya.

Sementara itu Bung berkata BN Sabah telah melantik seramai 25 orang penyelaras bagi setiap Parlimen di negeri ini sebagai persediaan menghadapi PRN Sabah ke-17 nanti.

Katanya, cadangan melantik penyelaras tersebut telah lama dikemukakan di peringkat Dewan Tertinggi BN, bagaimanapun ia baharu diluluskan awal bulan ini.

“Lama sudah kita cadangkan untuk pelantikan penyelaras BN di seluruh Parlimen. Pada 5 Mac, BN Pusat telah bermesyuarat dan mempersetujui pelantikan 25 penyelaras BN di seluruh Parlimen di Sabah.

“Pada saya ini adalah amat baik sebab penyelaras yang dilantik akan memanggil ketua-ketua di kawasan masing-masing untuk membincangkan hala tuju dan masa depan BN dalam berhadapan dengan pilihan raya.

“Walaupun pilihan raya dijangkakan bulan September tahun depan, tetapi biasanya di Sabah kurang daripada lima tahun. Oleh itu, kita perlu bersedia daripada awal untuk memastikan UMNO dan BN benar-benar mampu untuk berlawan dalam pilihan raya akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.