KARISMA Fokus Pembentukan Pemimpin Pelajar Generasi Baharu – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata Permukiman Siswa dan Latihan Kepimpinan Muda Kebangsaan (KARISMA) fokus kepada modul dalam pembentukan pemimpin pelajar generasi baharu.

Ujar Dr Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), program yang mengumpulkan pimpinan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) itu dimanfaatkan dengan berkongsi pandangan serta modul dalam pembentukan pemimpin pelajar generasi baharu sambil mengutip dan mendengar isu yang dihadapi mereka selaku suara mewakili mahasiswa di kampus.

“Mahasiswa yang ada di hadapan saya ini adalah pemimpin masa kini dan pemimpin masa hadapan. Visi saya mahu melihat barisan perwakilan pelajar di depan saya ini menjadi pemimpin satu hari nanti. Mungkin ada dalam kalangan kamu semua akan menjadi Perdana Menteri atau memimpin negeri masing-masing,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.

Dalam majlis penutup program tersebut, Dr Zambry turut mengadakan sesi dialog dengan 95 orang pimpinan mahasiswa daripada 20 IPT awam dan tujuh IPT swasta seluruh negara.

Menurutnya lagi, ketika mencadangkan pada peringkat awal perancangan program ini, pelbagai perkara dititikberatkan termasuklah pengisian modul latihan yang bercirikan kepimpinan, spiritual, fizikal dan intelektual.

“Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), dan Akademi Kenegaraan (AKAR) bersama barisan fasilitator telah berjaya memastikan objektif program ini berlangsung dengan jayanya.

“…dan saya mengharapkan para pemimpin pelajar ini membawa pulang pengalaman baru serta mempraktiskan ketika memimpin mahasiswa di IPT masing-masing,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu lagi.

Tambah Dr Zambry, beliau turut mengumumkan pemberian dana sebanyak RM20 ribu kepada setiap 20 majlis perwakilan pelajar IPT awam dan tujuh IPT swasta yang telah berkampung menjayakan program KARISMA kali ini bagi kegunaan menguruskan aktiviti di kampus masing-masing.

“Insya-Allah KARISMA akan diteruskan di peringkat kepimpinan di IPT masing-masing termasuklah di politeknik dan kolej komuniti,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.