Genap Setahun Terajui Pemuda UMNO, Dr Akmal Terus Tekad Mengorak Langkah Bersama Pimpinan Lain

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh beriltizam dan bertekad untuk meneruskan perjuangan bersama dengan barisan Pemuda UMNO yang lain setelah genap hari ini setahun memegang teraju kepimpinan sayap parti berkenaan.

Bagi beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka berkata, ianya adalah amanah yang cukup besar dan perjuangan yang ditempuh bukanlah mudah malah amanah yang dipikul hari ini tidak pernah dilalui oleh kepimpinan sebelum ini.

“Hari ini, genap setahun saya menggalas tanggungjawab dan amanah sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Jujur, tidak pernah terlintas pun di sanubari dan nurani, bahawa saya akan memegang jawatan yang cukup besar ini.

“Ini amanah yang cukup berat. Amanah yang saya pikul dalam keadaan yang tidak pernah dilalui oleh mana-mana Ketua Pemuda UMNO sebelum ini. Hakikatnya, perjuangan ini bukan mudah. Ini jalan yang saya pilih, bersama rakan-rakan kepimpinan Pemuda yang lain. Kami setia di sini, kami akan terus kekal berdiri di sini.

“365 hari adalah jalan yang kita teroka bersama. Sebuah permulaan untuk ribuan hari lagi ke hadapan. Sejujurnya apa jua hari yang mendatang, saya kekal bersama jentera Pemuda membela nasib dan bangsa tanpa rasa gentar. Sumpah dan janji, saya akan abdikan seluruh jiwa dan raga saya untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air ini,” katanya di sini, hari ini.

Kata beliau lagi jika hanya mahu berbangga atas jawatan yang disandang, maka Pemuda UMNO bukan medannya.

“Pemuda berdiri hari ini kerana kami pemuda. Lahir dari semangat perjuangan UMNO yang tulen dan asli. Tidak sekali kami terbeli dan terbelit dengan apa jua helah politik. Prinsip kami jelas, menentang pada yang batil dan sentiasa teguh pada yang hak.

“Perjuangan mempertahankan agama bangsa dan negara ini akan saya teruskan walaupun hanya saya tinggal berseorangan,” tambahnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.