Bung Moktar Harap GERAK 17 Dapat Beri Impak Besar Hadapi PRN Sabah Kelak

SANDAKAN, 11 Mac – Gerak kerja yang berstrategi dan bersistematik mampu mengembalikan kedudukan UMNO/Barisan Nasional (BN) sebagai peneraju kerajaan negeri Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sebagai usaha untuk mengukuhkan kembali kedudukan UMNO sebagai parti yang telah memberikan sumbangan besar terhadap pembentukan Kerajaan Negeri Sabah selepas PRN ke-16 namun dinafikan, UMNO bangkit dan menyusun strategi untuk kemenangan dalam PRN ke-17 akan datang .

Menyedari hakikat tersebut, UMNO Sabah telah melancarkan GERAK 17 dengan matlamat untuk mencapai kemenangan dalam PRN ke-17.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan, UMNO sentiasa mengambil maklum tentang kancah politik semasa dan sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk mencapai misi mengembalikan semangat pendukung UMNO untuk terus berjuang demi maruah dan mencapai kemenangan.

Sehubungan itu, beliau berkata, kepimpianan tertinggi UMNO Sabah turun padang dalam program GERAK 17 menemui pemimpin parti di peringkat akar umbi, menyampaikan maklumat berhubung isu-isu politik semasa selain memantau tahap kesiapsiagaan bahagian-bahagian menghadapi PRN yang dijangka akan diadakan selewat-lewatnya tahun depan.

Jelas Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, GEKA 17 bukan semata-mata instrumen memperkasa jentera untuk pra-pilihan raya sahaja, sebaliknya ia merupakan platform yang mencakupi segala aspek termasuk melihat sejauh mana memontum kesetiaan dan semangat perjuangan ahli-ahli parti di peringkat akar umbi

.

“Alhamdullilah bagi zon lima ini kita sudah menjelajah Dewan Undangan Negeri (DUN) Telupid, DUN Sugud di Beluran, DUN Sekong, DUN Sungai Manila dan DUN Sungai Sibuga yang mendapat sambutan luar biasa dari ahli-ahli UMNO yang hadir.

“Kita faham acara dibuat masa bekerja, bukan program kerajaan, kemudahan seperti kenderaan, apa lagi cabutan tiket bertuah tidak disediakan oleh penganjur namun kehadiran penyokong UMNO begitu membanggakan yang memberi masej mereka masih setia dan bersemangat berjuang bersama-sama parti keramat ini,” jelas Bung ketika di temui dalam program GERAK 17 bagi kawasan DUN Sungai Manila, Sandakan baru-baru ini.

Menurut Bung program GERAK 17 dirancang oleh UMNO Sabah untuk ke semua 73 DUN.

“Tujuan kita buat program ini iaitu untuk mensiapsiagakan mereka khususnya jentera parti dan ahli. Jadi selepas program ini berakhir saya percaya mereka bersedia untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.

Bung berkata, GERAK 17 menjadi medium penting untuk mentransformasi kaedah dan strategi kempen tradisional kepada satu strategi berkempen yang lebih kontemporari khususnya melalui penggunaan teknologi maklumat seiring dengan kitaran Revolusi Perindustrian 4.0.

“Sambutan luas biasa GERAK 17 tidak akan bermakna, jika kita (jentera dan ahli parti) tidak bersedia atau strategi dan pendekatan yang tidak teratur ianya tidak akan membantu parti mencapai kemenangan,” katanya.

Justeru Bung berkata, program tersebut bukan sekadar latihan berbentuk teori tetapi mengutamakan elemen praktikal yang bertujuan untuk menggambarkan suasana pilihan raya sebenar namun penjelasan lain juga turut diberikan penekanan.

“Kemahiran dan pemikiran ke arah teknologi maklumat amat diperlukan oleh setiap ahli parti agar dapat memenangi sesebuah pilihan raya, justeru penguasaan media baharu perlu diketahui dan diamalkan oleh jentera parti dan ini telah pun dilakukan oleh Pergerakan Puteri, Pemuda dan Wanita UMNO yang telah mengadakan kursus media baharu.
“Oleh itu menjadi harapan ianya akan melebarluas hingga ke peringkat cawangan,” katanya.

Bung yang juga Pengerusi BN Sabah, berharap GERAK 17 akan memberi impak besar kepada semua ahli untuk berdepan dengan ‘perang’ pilihan raya nanti dan kesiapsiagaan itu perlu bermula dari sekarang.
“Ini kerana walaupun masih ada tempoh setahun lagi kerajaan negeri akan dibubarkan tidak mustahil pembubaran akan berlaku lebih awal dari jangkaan.” – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit