Awang Aslee Tekankan Pentingnya UMNO Semai Semangat Perpaduan, Mulakan Dari Kawasan Kejiranan

KUALA PENYU, 11 Mac – Usaha memupuk keharmonian dan perpaduan antara kaum di Malaysia perlu bermula dari kawasan kejiranan.

Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, perpaduan boleh disuburkan melalui rasa kasih sayang yang tinggi dalam komuniti setempat.

Beliau berkata, aktiviti kemasyarakatan adalah salah satu usaha untuk mengeratkan hubungan sesama kaum yang akhirnya melahirkan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.

Menurut Awang Aslee pelbagai pendekatan dan program boleh dilakukan oleh komuniti setempat untuk memperkukuhkan semangat perpaduan serta kerjasama yang antaranya ialah melalui gotong-royong, sukan dan sebagainya.

“Ia adalah merupakan medium terbaik ke arah melahirkan masyarakat yang harmoni dan bersatu-padu.

“Kenduri sekampung yang dilaksanakan sempena sambutan bulan Ramadan ini, merupakan salah satu pendekatan positif untuk melahirkan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu, malah program seperti ini boleh diteruskan bukan hanya sekadar untuk sambutan tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program kenduri sekampung sempena menjelangnya bulan Ramadan di Masjid Al-Kuthar Tenembak, dekat sini, kelmarin.

Hadir sama Naib Ketua UMNO bahagian, Md Rashid Mathon; Setiausaha UMNO bahagian, Abdul Rahman Taib; Ketua Wanita, Juriffah Safflie; Naib Ketua Wanitanya yang juga Ketua PDM Tenembak, Norjanah Saban; Ketua Puteri bahagian, Munira Sarrie dan Pengerusi Masjid Al-Kauthar, Rahmatdillah Rahman

Menurut Awang Aslee yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Pusat GiatMARA Parlimen Beaufort, apabila anggota masyarakat sudah terbiasa berjumpa dan bergaul maka hubungan yang terjalin semakin erat dan menjadikan mereka seperti sebuah keluarga besar yang saling memerlukan.

Awang Aslee menambah sebagai sebuah organisasi politik, UMNO sentiasa menyokong dan menitikberatkan soal perpaduan dalam setiap program dan pendekatannya kepada masyarakat.

“Dalam gerak kerja serta pendekatan UMNO kepada masyarakat, walaupun berbeza bangsa dan agama, tetapi UMNO tiada masalah untuk berkomunikasi dan mengenepikan perbezaan serta mencari titik persamaan dalam semua perkara,” katanya.

Dalam pada itu Awang Aslee berkata UMNO bahagian Beaufort juga sepanjang bulan Ramadan ini telah menyusun atur programnya dengan melawat ke beberapa buah masjid dan surau yang telah dijadulkan dalam program Ziarah Ramadan UMNO.

Katanya, program ini diisi dengan majlis berbuka puasa, solat berjemaah Maghrib, Isyak dan terawih selain menghulurkan sumbangan kepada golongan fakir miskin. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.