600 Pelajar Labuan Terima Peralatan Sekolah, Realitikan Khidmat Terus Bantu Rakyat

LABUAN, 11 Mac – Sesi baharu persekolahan 2024/25 telah pun bermula hari ini.

Dalam hal ini, Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan menzahirkan rasa gembira kerana usaha yang dilaksanakan bagi membantu 600 pelajar Labuan menerusi Program Back To School dapat meringankan beban ibu bapa di sini.

Katanya, menerusi program yang diadakan secara kerjasama bersama UMNO Labuan dengan Yayasan Bank Rakyat dan Yayasan Pelajaran MARA, beliau yakin ia amat memberi makna kepada penerima.

“Program Back To School dan Penyampaian Bantuan Khas Persekolahan 2024 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan diadakan bertujuan untuk membantu meringankan bebanan ibu bapa terutama mereka yang berada dalam golongan B40.

“Ini juga membuktikan keprihatinan pelbagai pihak yang bukan hanya untuk mengaut keuntungan tetapi juga melaksanakan amal bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan khususnya bagi persediaan anak-anak untuk kembali ke sekolah,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Pengerusi Penasihat Giat MARA Labuan bersama Ketua Puteri UMNO merangkap Timbalan Pengerusi Bank Rakyat Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menyerahkan bantuan peralatan sekolah dan wang tunai kepada penerima dalam program yang diadakan di Desa Tunas Hijau, Sungai Miri, pada Sabtu.

“Pastinya bantuan yang dihulurkan ini dapat mengurangkan bebanan yang perlu ditanggung oleh keluarga dalam memastikan anak anak mereka juga tidak tersisih daripada arus pendidikan,” katanya.

Beliau juga merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan program terbabit..

“Saya mewakili warga Labuan ingin mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Bank Rakyat dan Yayasan Pelajaran MARA yang telah memberi sumbangan wang tunai dan beg sekolah kepada 500 pelajar sekolah rendah dan 100 pelajar sekolah menengah.

“Terima kasih juga kepada semua dan ibu bapa pelajar yang datang bersama anak-anak. Moga anak-anak Labuan terus maju jaya dan cemerlang dalam pelajaran.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.