Wawasan Baharu Ke Arah Integrasi Aliran Pendidikan Kebangsaan Dan Vernakular

KUALA LUMPUR, 9 Mac- Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia melihat dengan penuh khuatir akan perkembangan polemik demi polemik mutakhir ini yang telah menambah api perpecahan yang sedang marak.

Ketuanya Dr Akmal Saleh berkata  segala apa yang terjadi ini adalah suatu cerminan betapa setelah hampir 70 tahun kemerdekaan dicapai, masih wujud suatu jurang nilai dan pemisahan persefahaman di antara rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.

Justeru beliau berpandangan ketegangan yang kian melarat ini adalah berakar daripada sistem pemisahan dan pengasingan yang dilaksanakan bermula di peringkat paling asas kehidupan rakyat, iaitu sejak dari bangku sekolah.

“Sudah tiba masa dan ketikanya untuk Malaysia menoktahkan pemisahan dan pengasingan itu.

Pegerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan ini mencadangkan agar dihidupkan kembali suatu ruang dialog nasional bagi Malaysia meneroka wawasan baharu ke arah integrasi pendidikan negara dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

“Menginsafi kerumitan, sensitiviti dan polemik yang melingkari isu ini, Kerajaan tidak mempunyai pilihan melainkan untuk menerajui usaha ini bagi memastikan ia diurus dalam kerangka yang penuh cermat, di luar pengaruh sentimen, syak wasangka dan hasutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata beliau lagi bagi mencapai hasrat tersebut, Pemuda UMNO mencadangkan Kerajaan untuk mempertimbangkan langkah-langkah interim berikut antaranya penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular yang kini merangkumi lebih 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan, dalam aspek keselarasan silibus, penerapan nilai-nilai kenegaraan dan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Seterusnya kajian menyeluruh berhubung ruang dan peluang penambahbaikkan ekosistem pendidikan kebangsaan bagi memberi insentif dan tarikan kepada penyertaan murid berbilang bangsa.

“Begitu juga peta jalan jangka sederhana dan panjang ke arah model integrasi pendidikan di atas pasak kebersamaan nilai (common values) dan semangat kekitaan (sense of belonging) di antara rakyat berbilang bangsa, tanpa menyisihkan hak kaum-kaum di Malaysia untuk memelihara warisan bahasa ibunda masing-masing,” ujarnya.

Ujar beliau lagi tidak ada jalan pintas ke arah mencapai perpaduan dan ia adalah suatu jalan yang panjang, berliku-liku dan mencabar, tetapi ia mesti dimulakan dengan langkah pertama.

“Warisan teragung negara ini adalah keharmonian dalam kepelbagaian, bukan perpecahan dan pemisahan.

Perpaduan rakyat Malaysia harus bermula dari pendidikan. Ini masanya untuk menyatukan, bukan memisahkan,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.