Pemuda Dan Puteri UMNO Perlu Jadi Nukleus Perubahan Demi Masa Hadapan Negara Lebih Baik – Razlan

ALOR GAJAH, 9 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii menegaskan bahawa Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO perlu menjadi nukleus perubahan demi masa hadapan negara yang lebih baik.

Katanya, sebagai generasi baharu yang bakal menjamin masa depan negara maka adalah penting untuk golongan terbabit bersedia termasuk memastikan minda yang sentiasa aktif terhadap situasi semasa.

“Pemuda dan Puteri UMNO perlu menjadi nukleus perubahan kepada masa depan yang lebih baik iaitu dengan mengaplikasi segala kemudahan dan teknologi terkini termasuklah dalam media sosial.

“Dalam meneruskan perjuangan parti, siapkan minda berperang dan kenali pihak lawan. Tolak pelbagai dakwaan negatif dan tuduhan yang tidak benar terhadap parti kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan peringkat Pemuda dan Puteri UMNO, di sini, hari ini.

Razlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh turut menekankan pentingnya bersuara dan berani berkomunikasi bagi mendepani apa-apa juga cabaran khususnya menerangkan info yang benar.

Beliau turut menjelaskan bahawa keutamaan UMNO/Barisan Nasional (BN) bersama dalam Kerajaan Perpaduan adalah atas kepentingan masa hadapan negara.

“Negara ini dibina adalah untuk masa depan yang lebih baik kepada rakyat. Fahami bahawa kita dukung Kerajaan Perpaduan atas semangat muafakat bagi membentuk masa depan negara yang lebih baik atas kelangsungan rakyat.

“Kita bersama untuk membina negara atas dasar perpaduan, untuk membina ekonomi bagi kepentingan rakyat yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum dan agama, sama-sama kita jaga tatasusila agar rakyat dapat hidup sejahtera, bekerja dan tidur lena.

“Kita tahu tanggungjawab kita dan tahu landasan kita di mana maka apabila ada pihak yang mengatakan UMNO menggadai agama maka itu adalah tidak benar malah kita angkat melalui pelbagai dasar yang dibuat oleh Kerajaan Perpaduan sebagaimana aplikasi Dasar Tahfiz Negara,” katanya lagi.

Dilaporkan seramai 160 orang anggota UMNO terdiri daripada jentera penerangan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO berkampung selama tiga hari menjayakan Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan Pemuda dan Puteri UMNO bermula Khamis.

Kursus tersebut adalah lanjutan siri anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang diketuai Datuk Seri Azalina Othman Said merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi). Terdahulu kursus sedemikian telah berjaya diaplikasi melibatkan Ketua-ketua Penerangan UMNO Bahagian dan juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Bahagian. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.