Kerajaan Wujudkan Sekretariat Tetap Teliti Pelaksanaan Resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera 2024

 

KEPALA BATAS, 9 Mac – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan mewujudkan sekretariat tetap bagi meneliti pelaksanaan kepada 82 resolusi yang telah dihasilkan pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 pada 29 Feb hingga 2 Mac baru-baru ini.

Kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, ia juga sebagaimana komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan semua dapatan daripada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 itu diterjemahkan pelaksanaannya.

“Pada hari Isnin ini saya akan mengadakan mesyuarat pertama dan berbincang dengan pengerusi-pengerusi kluster Kongres Ekonomi Bumiputera ini untuk kita secara rasmi mewujudkan sekretariat yang telah diletakkan punca kuasanya di bawah Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri.

“Dan saya akan lakukan tindakan susulan kerana saya dilantik untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pemandu kepada Majlis Ekonomi Bumiputera ini dan Rafizi (Rafizi Ramli – Menteri Ekonomi) menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kecil. Ketiga-tiga komiti dan sub komiti ini akan bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Kementerian Ekonomi,” kata Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu dalam satu sidang media di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian selepas menyempurnakan program Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO bersama UMNO Bahagian Kepala Batas di Dewan Mutiara Bertam, di sini hari ini.

Turut diadakan pelancaran Gerak 25 iaitu sasaran UMNO Bahagian Kepala Batas untuk mencapai jumlah keahlian di kawasan itu seramai 25,000 orang ahli berakhir pada tahun 2025.

Hadir sama di program tersebut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Untuk rekod, antara resolusi yang diangkat ialah berkaitan kluster Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti memperkukuh jalinan Kerjasama program Tahfiz TVET dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak dan menangani krisis Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

Tambah Ahmad Zahid, sepertimana Kongres Ekonomi yang pertama dan kedua, Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 juga merupakan satu komitmen kerajaan.

“Ini memperlihatkan komitmen pihak kerajaan untuk melaksanakan semua resolusi yang munasabah untuk dilaksanakan tanpa perlu mewujudkan agensi-agensi baharu.

“Yang penting kita memperkukuhkan agensi yang sedia ada dan mana-mana program yang telah dibatalkan umpamanya Unit Penyertaan Bumiputera kita akan teruskan dengan mewujudkan Unit Pemerkasaan Bumiputera di seluruh Kementerian, jabatan, agensi serta GLC (syarikat berkaitan kerajaan) bagi menentukan agenda ekonomi bumiputera dilaksanakan tanpa mengetepikan kesaksamaan kepada etnik kaum di negara kita,” jelasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.