Wanita UMNO Simbolik Kesetiaan, Benteng Parti Jalankan Gerak Kerja – Noraini
REMBAU, 8 Mac – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyifatkan Wanita UMNO sebagai simbolik kesetiaan, terutama dalam menjalankan gerak kerja kepada parti.
Katanya, ini kerana jentera Wanita memainkan peranan penting dalam mendekati pengundi bagi memperkukuh sokongan rakyat kepada parti keramat ini.
“Benteng utama UMNO ini adalah Wanita. Kalau tidak ada Wanita ini tak tahulah apa nak jadi dengan UMNO ini. Sebab kita pun tahu Wanita ini arah saja terus gerak, jalankan kerja masing-masing sebab kita sayangkan UMNO ini.
“Kita punya cinta kepada UMNO ini jangan ada sesiapa pun pertikaikan tapi kita perlu ada pendekatan macam mana kita hendak yakinkan orang ikut kita dan mengundi kita dalam pilihan raya akan datang,” katanya ketika berucap pada Kursus Pengukuhan Komunikasi yang diadakan di Rembau.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata dengan pola sokongan politik yang tidak menentu menuntut usaha berlipat kali ganda daripada jentera parti.
Meneladani Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, Noraini berkata meskipun pelbagai gerak kerja dilakukan parti namun keputusannya adalah di luar jangkaan.
“Kita dah buat pelbagai cara, wakil rakyat ke hulu ke hilir buat kerja pagi petang siang malam, bermacam program dibuat tapi pasti ke mereka akan mengundi kita?
“Sebelum PRU yang lepas Wanita ada sahaja orang sakit pergi, duit tidak ada, peruntukan tidak ada tapi dengar sahaja orang sakit, tidak sampai hati, terus pergi menziarah.
“Pengundi juga sudah berbeza dan sekarang ini pun kita keliru mereka boleh berubah sekelip mata tapi itu bukan bermakna kita boleh patah semangat kita harus terus merapatkan diri dengan pengundi,” ujar beliau. – UMNO Online