UMNO Kehadapan Bawa Peranan Perkasa Ekonomi Bumiputera – Ahmad Maslan

REMBAU, 8 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan UMNO kehadapan dalam memainkan peranan besarnya membawa suara bumiputera khususnya membabitkan peluang ekonomi.

Jelas beliau ia dapat dilihat menerusi penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang menyaksikan komitmen UMNO bersama Kerajaan Perpaduan dalam memperkasa golongan ini.

“Dalam asas perjuangan UMNO memang untuk memperkasakan bangsa Melayu dan bumiputera, kita ada sebut dalam mukadimah asas tujuan UMNO.

“UMNO perlu juara pengukuhan bumiputera sebab parti-parti lain tidak berapa bumiputeranya, kalau dalam Kerajaan Perpaduan yang betul-betul ahlinya Melayu/Bumiputera adalah UMNO.

“…kerana UMNO ini ada di 191 bahagian jadi kita ingin memastikan bahawa perjuangan kita itu saling bantu-membantu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kursus Pengukuhan Komunikasi di Rembau.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Pontian berkata, agenda bumiputera ini tidak seharusnya mempunyai sikap ’serba salah’.

Katanya ini kerana, bumiputera adalah populasi terbesar di negara ini.

“Kita jangan rasa bersalah mengenai agenda bumiputera kerana bumiputera di negara ini adalah 70.1 peratus, Cina 22.6 peratus dan India 6.6 peratus lain-lain 0.7 peratus

“Oleh itu usaha untuk bumiputera ini bukan usaha 65 peratus tetapi usaha bangsa 70.1 peratus negara kita,” ujar beliau.

Untuk rekod, KEB 2024 telah dianjurkan selama tiga hari mulai 29 Februari sehingga 2 Mac 2024 lalu yang dilaksanakan bagi memperkasa kedudukan golongan bumiputera.

Pelbagai keluhan dan cadangan telah dilontarkan oleh perwakilan dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang melibatkan ahli politik, golongan profesional, usahawan dan wakil korporat daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.