Kerajaan Pahang Tegas Isu Penerokaan Tanah Haram, Jangan Cuba Jadi Hero – Kamil Ibrahim

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Isu penerokaan tanah haram di negeri Pahang sentiasa diambil tindakan tegas oleh kerajaan negeri dan tindakan sesetengah pihak yang cuba menjadi hero peneroka haram adalah satu tindakan yang tidak sewajarnya.

Ketua Pemuda UMNO Negeri Pahang, Kamil Ibrahim berkata isu penerokaan tanah haram di Cameron Highlands khususnya sejak daripada dahulu sentiasa diambil berat oleh kerajaan negeri.

Justeru tegas beliau pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan berkaitan isu tersebut khususnya Gobalakrishnan adalah sekadar mencari populariti.

“Gobalakrishnan jangan jadi ‘bodoh’ nak pertahankan peneroka tanah haram. Berapa kali dia nak bercakap soal ini dari tahun 2019. Dulu buat hal, sekarang nak cetus provokasi lagi.

“Saya cadangkan Gobalakrishnan ini berhenti mencari populariti dalam politik dalam keadaan ketika ini. Tiada guna untuk pertahankan peneroka haram yang langsung tidak memberi manfaat kepada kita semua.

“Tak perlu nak cakap Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ‘gangster’.  Menteri besar kami jalankan tugas dengan betul demi kepentingan rakyat Pahang,” katanya dalam satu kenyataan menerusi hantaran di Facebook.

Tegas beliau lagi isu penerokaan  tanah haram sentiasa dipandang serius oleh Kerajaan Negeri Pahang sejak dari dahulu kerana ianya berkait dengan keselamatan dan alam sekitar.

“Menteri Besar Pahang, ‘Tok Wan’ sendiri konsisten perangi habis-habisan soal teroka tanah haram seiring dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu yang mahu perkara ini diambil serius kerana akan menjejaskan sumber bekalan air untuk kepentingan awam.

“Jika perkara ini berlarutan, ini akan mengancam keselamatan orang ramai dengan pencemaran air serta kejadian tanah runtuh yang sering berlaku. Tanah yang diteroka bukannya dalam jumlah yang kecil tetapi dalam skala yang sangat besar.

“Jangan terlalu nak membela mereka yang meneroka tanah haram, sudahlah guna tanah milik kerajaan, cukai pun tidak bayar malah sumber air kepada penduduk setempat pun tercemar akibat racun dan toksin baja ke dalam sungai,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.