“Kami Janji, Kami Tunai” Jadi Tekad Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 8 Mac – “Kami janji, kami tunai,” demikian tekad Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias menyentuh mengenai tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat di kawasannya.

Ujar Ahli Parlimen Jelebu itu, contohnya semasa pilihan raya dahulu antara janji yang disebutkan adalah mengenai bantuan kepada warga emas dalam Negeri Sembilan.

Tambahnya, atas prinsip ‘manusia berpegang kepada janji’ maka pagi tadi Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang telah menyampaikan Bantuan Aspirasi kepada 353 warga emas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

“Sebagai wakil rakyat, saya akan berusaha untuk menunaikan segala janji yang diberikan semasa pilihan raya lalu.

“Saya akan usaha bantu keluh-kesah rakyat berkaitan pendidikan anak-anak, kebajikan ibu ayah kita, infrastruktur kemudahan awam, keupayaan pembangunan belia, pemerkasaan wanita dan banyak lagi,” kata Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan itu dalam satu perkongsian di laman X.

Dalam masa yang sama, Jalaluddin juga berharap agar rakyat dapat bersatu padu serta menolak segala anasir negatif yang mahu merobek kebersamaan yang telah wujud.

“Apa pula yang saya harapkan dari rakyat? Saya hanya mahukan rakyat di seluruh Negeri Sembilan agar terus pertautkan kebersamaan dan ‘esprit de corps’ antara kita.

“Jangan dengar desas-desus negatif dari sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Apabila kita kuat dan saling tolong-menolong, pasti ramai yang panas hati dan mahu porak-perandakan apa yang kita bina. Kita jaga rumah kita.

“Kita jaga famili kita elok-elok. Jangan biar apa yang dibina selama ini dirosakkan pihak tertentu,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.