Pemuda UMNO Wilayah Tekad Teruskan Perjuangan, Komited Kukuhkan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan mengaplikasi gerak kerja dalam kepimpinan dengan semangat kebersamaan memperkukuh ukhuwah melalui ‘Retreat G5 dan SUK’ yang diadakan baru-baru ini.

Program yang menghimpunkan lebih 70 peserta melibatkan kalangan kepimpinan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan ini digerakkan atas semangat perpaduan yang tentunya akan menyemarakkan tekad perjuangan parti kepada setiap peserta.

Retreat tersebut telah berlangsung selama tiga hari di Gopeng dengan acara pelepasannya di Masjid Al-Firdaus, Segambut disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Segambut, Datuk Mahadhir Sulaiman.

Acara pembukaan bagi reteat telah dilaksanakan oleh Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin manakala perasmian penutup oleh Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang diiringi Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Rizalman Mokhtar.

Pelbagai pesanan dibawa pulang oleh para peserta yang berkampung selain percambahan idea bagi meneruskan perjuangan UMNO yang berpaksikan demi agama, bangsa dan negara.

Turut hadir memberikan perkongsian dalam usaha memperkukuh UMNO ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razlan Rafii dan juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Mohammad Sollehin. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.