Mohd Shahar Pengerusi Backbenchers Club (BBC) Baharu

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah daripada UMNO/Barisan Nasional (BN) dilantik sebagai Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (Backbenchers Club-BBC) yang baharu.

Beliau menggantikan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang kini dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

Pemakluman BBC melalui kenyataan media itu juga memaklumkan Ahli Parlimen Kota Melaka dari Dap, Khoo Poay Tiong dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Backbenchers.

Manakala jawatan Setiausaha pula diisi oleh Ahli Parlimen Ledang daripada PKR, Syed Ibrahim Syed Noh.

Dalam siaran media yang sama mereka turut menyatakan komitmen sebagai semak dan imbang kepada kerajaan selain platform untuk mengukuhkan keharmonian antara Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan terutama sepanjang sidang Parlimen berlangsung.

“Backbenchers berperanan memastikan kejituan koordinasi antara Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan ketika sesi perbahasan dan kelicinan urusan-urusan kerajaan,” memetik kenyataan tersebut.

Dalam pada itu BBC mempelawa mana-mana pihak termasuklah individu, kumpulan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyampaikan sebarang pandangan mahupun kritikan membabitkan kepentingan rakyat Malaysia secara terus kepada Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan untuk disuarakan di Dewan Rakyat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.