KEB 2024 Berpaksikan Fakta, Dapatan Dari Akar Umbi Rangkum Pelbagai Sektor – Prof Dr Sharifah Syahirah

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Naib Canselor Universiti Poly-Tech Malaysia Prof Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh melihat Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 berteraskan kepada fakta serta data-data yang diambil di pelbagai peringkat termasuklah kalangan rakyat di akar umbi.

Bagi beliau KEB 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu lalu amat berjaya dengan pelbagai perancangan serta penekanan yang diambil serius oleh kerajaan dengan merangkumi pelbagai sektor.

“KEB 2024 yang merencana serta membincangkan pelbagai aspek dan kluster ekonomi bumiputera adalah berteraskan kepada realiti serta hakikat yang sebenar.

“Hakikatnya kongres tersebut amat berjaya kerana kita perlu ingat sebelum kongres selama tiga hari, ada sesi-sesi libat urus iaitu terdapat 10 kluster dan setiap kluster itu ada lebih lima hingga 10 sesi libat urus satu Malaysia.

“Maknanya mereka telah ambil data-data daripada sesi libat urus ini dan kita tidak boleh kata kongres ini tidak daripada ‘talk down’ … kerana apa… kerana mereka telah pergi ke akar umbi dapatkan informasi daripada kumpulan fokus,” katanya.

Katanya lagi daripada itulah banyak maklumat yang boleh diperoleh serta dikumpul sekaligus menjadi intipati serta data sepanjang tiga hari kongres berkenaan.

Beliau berkata demikian pada program #HitamPutihKelabu membicarakan ‘Kongres Ekonomi Bumiputera 2024’ anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan menerusi Facebook UMNO Online.

Turut serta sebagai panel pensyarah Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM),  Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani dan Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim. Program berkenaan dihoskan Moderator Dinie Fadil.

Beliau seterusnya berkongsi pengalaman terlibat dalam sektor kluster pendidikan pada sesi libat urus sebelum kongres tersebut diadakan Khamis lalu.

“Saya sendiri terlibat dalam sektor kluster pendidikan bersama dengan Tan Sri Prof Azlan dan banyak data-data yang dikumpul daripada beliau.

“Contohnya tentang sikap… yang kami nampak bukan sekadar para pelajar tetapi juga disebabkan oleh cara penyampaian dan juga kepimpinan… adakah kepimpinan ‘walk the talk’ dan menjaga kebajikan para pensyarah, para guru dan sebagainya,” katanya.

Beliau melihat pelaksanaan KEB amat berjaya, iaitu bukan hanya dilihat kepada kehadiran tetapi juga saranan di dalamnya. 

“Saya berada di sana selama tiga hari dan saya dapat lihat sesi itu berlangsung dengan baik dan ianya bukan sekadar cakap kosong tetapi ianya berdasarkan kepada fakta di akar umbi,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.