Isu Tuntutan 40 Peratus, Bung Moktar Cadang Kerajaan Pusat Dan Negeri Bentuk Jawatankuasa Penilai Bebas

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah agar melantik satu jawatan kuasa pentaksir/penilai bebas dalam menyelesaikan isu tuntutan 40 peratus hasil negeri Sabah dikutip Kerajaan Persekutuan yang seharusnya dikembalikan kepada Sabah yang belum ada penyelesaian secara tuntas.

Beliau berkata cadangan ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan perkara 112D perkara 6 setelah lebih daripada 60 tahun isu tuntutan ini berlarutan tanpa kesudahan.

Beliau berkata laporan Statistik Jabatan Perangkaan Negara sejak 1964 yang saban tahun disemak, Sabah masih kekal negeri termiskin dalam Malaysia.

“Perkara ini sebenarnya tidak seharusnya berlaku kerana Sabah merupakan negeri penyumbang terbesar dalam ekonomi negara melalui penghasilan sumber petroleum, gas dan juga komoditi seperti kelapa sawit dan sebagainya.

“Namun agak menyedihkan pembangunan antara Semenanjung Malaysia dan Wilayah Sabah masih tidak seimbang sedangkan Sabah turut menyumbang kearah pembangunan,” katanya ketika berucap dalam sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada petang Selasa.

Menurut Bung yang juga Ketua UMNO Sabah, jika tuntutan 40 peratus ini dapat diselesaikan sebaiknya, Sabah akan memiliki dana kewangan untuk merancang dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan terutamanya infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik yang agak kritikal di negeri ini.

Bung berkata oleh kerana isu tuntutan 40 peratus ini belum selasai, maka wajarlah jawatankuasa pentaksir bebas ini diwujudkan bagi untuk memutuskan berapakah jumlah yang sepatutnya diterima oleh Sabah tiap-tiap tahun.

“Apabila ada wujud kebuntuan antara kerajaan pusat dan negeri dalam menyelesaikan isu tuntutan 40 persen ini, mereka boleh merujuk kepada badan bebas pentaksir yang dibentuk dan cadangan yang diputuskan oleh badan pentaksir bebas adalah keputusan bersama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri,” katanya.

Menurut Bung perkara ini perlu diputuskan secara tuntas jika tidak rakyat Sabah akan berada di awang-awangan dan ia akan terus menjadi polemik politik oleh beberapa pihak.

“Isu ini juga terus menjadi polemik politik oleh sesetengah di Sabah dengan menanamkan api kebencian kepada kerajaan dan pemimpin pusat, walaupun berada dalam blok Kerajaan Perpaduan.

“Kelantangan mereka bercakap melalui pelbagai platfrom tanpa menggunakan saluran yang betul boleh menjejaskan konsep Kerajaan Perpaduan kerana itu ianya perlu ditangani segera,” jelas Bung.

Dalam pada itu Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih di atas khidmat bakti bekas Yang di-Pertuan Agong ke 16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sudi mencemar turun ke Sabah melalui program Jelajah Kembara Borneo pada September tahun lepas.

Menurut Bung lawatan baginda ke Sabah dalam program tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada baginda menemui rakyat malah dapat melihat keperluan pembangunan terutamanya dari aspek infrastruktur asas yang diperlukan oleh rakyat khususnya di Sabah yang sudah tentu turut disampaikan oleh baginda kepada kerajaan untuk diambil perhatian serta tindakan sewajarnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.