Bersama Bangunkan Ekosistem Keusahawanan Yang Kukuh Dan Berdaya Maju

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua pihak yang berkaitan bersama membangunkan ekosistem keusahawanan yang kukuh dan berdaya maju.

Menurut Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu, beliau yakin usaha dan koordinasi dari Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) akan memperkemaskan lagi sinergi dalam menyokong para usahawan di seluruh negara.

Tambah Ahmad Zahid, dua kertas kerja yang telah dibentangkan sangat penting untuk memahami dan meningkatkan impak program pembangunan usahawan.

Jelasnya dalam satu perkongsian di laman sosial, ia bukan hanya mengenai kisah kejayaan para usahawan tetapi pada masa yang sama menyemak kegagalan dan kelemahan untuk diberikan penambahbaikan.

“Pertama, kertas Terma Rujukan Mesyuarat Sekretariat MPUPK oleh Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) telah membincangkan peranan utama Sekretariat dalam memantau pelaksanaan program pembangunan usahawan melalui Pelaporan Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA). Diskusi melibatkan pencerahan isu-isu yang timbul dan pilihan tindakan sewajarnya untuk menangani permasalahan dengan tuntas di dalam memperkasakan komuniti keusahawanan.

“Kedua, pembentangan mengenai kaedah penyelarasan Pelaporan SMEIPA oleh SME Corp, yang melibatkan pelaksanaan program keusahawanan PMKS oleh 13 kementerian, 50 agensi persekutuan, dan 10 kerajaan negeri.

“Ia menjadi rujukan utama untuk Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan dalam memastikan pengagihan sumber peruntukan yang optimum, serta mengelakkan ketirisan dan pertindihan program,” katanya.

Terdahulu, pada petang Rabu, Ahmad Zahid telah mempengerusikan Sekretariat Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) Bil. 1/2024 di Parlimen, di sini.

Ia juga bertujuan untuk menyemak pelaksanaan serta kesan dana pembangunan keusahawanan yang telah disalurkan kepada setiap kementerian dan agensi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.